Petugas JKM, warga emas, OKU terima vaksin fasa kedua, bukan pertama

Bernama
Februari 18, 2021 09:55 MYT
Terdapat kesilapan fakta mengenai fasa pemberian suntikan vaksin melibatkan petugas JKM, warga emas dan OKU dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. - Gambar hiasan/ Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini memaklumkan bahawa petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), warga emas dan orang kurang upaya (OKU) akan menerima vaksin dalam fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
KPWKM dalam kenyataan hari ini menjelaskan golongan berkenaan bukan penerima vaksin fasa pertama seperti dimaklumkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun pada Selasa lepas.
Menurut KPWKM, terdapat kesilapan fakta mengenai fasa pemberian suntikan vaksin melibatkan petugas JKM, warga emas dan OKU dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Sebelum ini, Rina dilaporkan berkata sebanyak 68,003 individu dalam kumpulan sasar KPWKM akan menerima suntikan vaksin fasa pertama program berkenaan.
Ia terdiri daripada 48,564 warga emas merangkumi ahli Pusat Aktiviti Warga Emas dan penghuni institusi seliaan KPWKM serta 19,439 OKU berdaftar yang juga pelatih Program Pemulihan Dalam Komuniti.
-- BERNAMA
#warga emas #jkm #OKU #KPWKM #Penerima Vaksin #fasa kedua #bukan fasa pertama #kesilapan fakta #Rina Harun #MyVaksinCOVID19