Petugas haji termasuk 14 wakil media selamat tiba di Madinah

Azlinariah Abdullah
Mei 3, 2024 15:03 MYT
Sebahagian petugas haji yang tiba di Madinah pada Jumaat mengikuti taklimat di hotel penginapan. - Gambar/ Astro AWANI
MADINAH: Seramai 150 petugas haji termasuk 14 wakil media bagi musim haji 1445Hijrah/2024M selamat tiba di Madinah sekitar pukul 2.45 pagi waktu tempatan (7.45 pagi waktu Malaysia).
Sebaik sampai, mereka dibawa ke tempat penginapan untuk sesi taklimat oleh Naib Konsul Haji Malaysia, Ashrof Shamsuddin dan jamuan makan.
Kumpulan petugas media akan berada di Madinah selama 10 hari sehingga 13 Mei 2024 sebelum memasuki Makkah.
Antara lain semasa taklimat, Ashrof berkata, pelbagai program diatur dan dirancang untuk petugas yang tiba pada Jumaat termasuk Ziarah Luar dan Dalam selain Ziarah Raudhah.
"Kumpulan perubatan dan kebajikan bagi zon Makkah perlu siap berihram dan mereka akan menuju ke Makkah pada Sabtu bagi membuat persiapan ketibaan jemaah haji Malaysia nanti," kata Ashrof.
Petugas haji yang tiba pada Jumaat adalah sebahagian daripada keseluruhan 600 petugas bagi musim haji tahun ini.
Penerbangan kumpulan pertama petugas mula berlepas pada 30 April diikuti dengan tiga kumpulan besar iaitu pada 2, 6 dan 9 Mei.
Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman semasa melepaskan rombongan petugas kumpulan kedua pada Khamis berkata, petugas akan memastikan semua sektor operasi antaranya pengurusan maktab dan zon, kesihatan, bimbingan ibadat haji dan ziarah, kewangan, media, sajian, bagasi, khidmat pelanggan dan lain-lain berada dalam keadaan terbaik.
“Kesemua petugas yang bertindak sebagai barisan hadapan ini telah mengikuti kursus komprehensif bagi memastikan mereka bersedia untuk menyantuni 31,600 bakal haji negara," kata beliau.
Pelepasan kumpulan kedua melibatkan petugas kebajikan, perubatan, media dan agensi luar seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Dua pengarang Astro AWANI, Azlinariah Abdullah dan Azlinda Md Salim merupakan antara pengamal media yang membuat liputan haji tahun ini.
Mereka berdua akan memberi fokus kepada laporan mengenai muslimah menerusi liputan perjalanan muslimah menuju haramain.
Penerbangan pertama jemaah haji negara akan bermula 9 Mei ini manakala penerbangan terakhir adalah 9 Jun 2024.
Hari wukuf bagi musim haji tahun ini adalah pada 9 Zulhijah atau bersamaan 15 Jun 2024.
Sebanyak 100 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa jemaah haji negara melibatkan syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines.
#Haji 2024 #petugas haji #Tabung Haji #Madinah
;