Petugas barisan hadapan Sarawak terima bekalan PPE tambahan dari China

Bernama
Mei 12, 2020 12:51 MYT
56 tan metrik PPE tiba di LTAK menggunakan pesawat kargo sewa khas dari Shanghai, China. - Foto Astro AWANI
Bekalan tambahan peralatan perlindungan diri (PPE) dari China tiba di sini awal pagi ini, sebagai persediaan bagi menghadapi kemungkinan gelombang baharu penularan wabak COVID-19 di Sarawak.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata sebanyak 56 tan metrik PPE itu tiba di lapangan terbang di sini pada pukul 3.00 pagi menggunakan pesawat kargo yang disewa khas dari Shanghai, China.
"Dengan bekalan PPE ini, kami dapat bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan berlakunya gelombang kedua.
"Kami tidak mahu terperangkap (dalam kesukaran mendapatkan bekalan PPE) seperti yang berlaku pada awal penularan COVID-19, kerana peningkatan terhadap kes dan permintaan bekalan berlaku di seluruh dunia," katanya kepada pemberita selepas pemeriksaan bekalan diterima di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) hari ini.
Sementera itu, Pengarah Kesihatan Negeri Dr Chin Zin Hing yang turut sama melakukan pemeriksaan berkata antara PPE yang diterima termasuk 192,000 pasang apron pakai buang kalis air, penutup kasut (184,000 keping), topi jururawat (184,000 keping) dan penutup kepala perubatan (184,000 keping).
"Perolehan ini dapat meningkatkan tahap kesediaan kemudahan kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) di Sarawak bagi membantu petugas barisan hadapan dalam memerangi COVID-19.
"Ia juga sebagai persediaan untuk memastikan bekalan PPE mencukupi jika berlaku sebarang peningkatan kes selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.
#China #COVID-19 #Kementerian Kesihatan #kerajaan #KKM #koronavirus #Kuching #pesawat #PPE #Sarawak
;