Petugas barisan hadapan diingatkan ikut garis panduan pemakaian PPE

Astro Awani
April 14, 2020 17:54 MYT
Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah mengingatkan barisan hadapan terutama petugas kesihatan agar mengikut garis panduan yang ditetapkan berhubung pemakaian peralatan perlindungan peribadi (PPE). - Gambar fail/Astro AWANI
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan barisan hadapan terutama petugas kesihatan agar mengikut garis panduan yang ditetapkan berhubung pemakaian peralatan perlindungan peribadi (PPE).
Jelasnya, garis panduan berkenaan antara lain menetapkan bahawa ada kakitangan yang perlu memakai PPE dan ada yang tidak perlu memakai alat perlindungan itu.
Langkah itu bagi memastikan bekalan PPE tidak terjejas dan mampu bertahan dalam tempoh tertentu.
"Memang kita lihat bagaimana kita nak pastikan mereka yang perlu pakai PPE mesti pakai PPE, tetapi ada yang tidak perlu pakai PPE mereka pakai PPE.
"Jadi kita kena rasionalise mengikut garis panduan ada. Kita harap barisan hadapan dapat melihat kembali garis panduan ini. Kalau tidak, semua akan pakai PPE walaupun tidak perlu pakai PPE, dan mana perlu pakai PPE penuh dan sebagainya," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, katanya, isu berkaitan kekurangan PPE adalah isu global dimana hampir semua negara terkesan dengan penularan wabak COVID-19.
"Di fasiliti KKM juga, didapati penggunaan PPE telah meningkat secara mendadak susulan pandemik COVID-19 ini. PPE adalah merupakan satu keperluan utama bagi petugas kesihatan barisan hadapan dalam menghadapi wabak COVID-19. Terdapat beberapa jenis PPE yang digunakan oleh petugas kesihatan," kata beliau.
Bagi memastikan stok PPE adalah berterusan, KKM telah dan sedang terus menjalankan proses perolehan PPE secara pembelian pukal di peringkat Pusat dan Negeri.
KKM juga bekerjasama rapat dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan lain-lain agensi pusat bagi memastikan isu berkaitan stok ini dapat diberi perhatian khusus.
"Sumbangan PPE oleh pelbagai pihak swasta, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan para dermawan terus dialukan dan jutaan terima kasih diucapkan kepada mereka.
"Bagi memantau rapat paras stok dan kadar penggunaan bagi setiap jenis PPE di setiap negeri, KKM telah menggunakan sistem pelaporan dan pangkalan data atas talian yang mudah, dimana ianya dikendalikan oleh pegawai di setiap Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), hospital-hospital dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) (termasuk semua Klinik Kesihatan di bawah masing-masing PKD)," tambahnya lagi.
Laporan itu dipantau rapat dan tindakan mobilisasi stok akan dibuat.
"Senarai nama, nombor telefon dan emel pegawai bagi setiap negeri telah dimaklumkan bagi membantu orang umum dan kakitangan untuk memberi maklumbalas sekiranya didapati berlaku kekurangan PPE. Semakan segera dan tindakan mobilisasi akan dilakukan mengikut keperluan dan keutamaan.
"Adalah dimaklumkan juga bahawa setiap jenis PPE perlu dipakai mengikut keperluan dimana petugas kesihatan bertugas, iaitu sepertimana dinyatakan di dalam Garis Panduan Pengurusan COVID-19 di Malaysia No.5/2020 (Annex 8: The Infection Prevention And Control (IPC) Measures). Bukan semua petugas kesihatan perlu memakai ke semua jenis PPE pada masa mereka bertugas. Ini amat penting bagi memastikan kadar dan pola penggunaan PPE di fasiliti kesihatan KKM," ujarnya.
Sehubungan itu, KKM menyarankan penggunaan PPE cermat dan berhemah oleh semua petugas kesihatan memandangkan ia digunakan secara berterusan.
#coronavirus #COVID-19 #COVID19 #Dr Noor Hisham Abdullah #kerajaan #keselamatan #kesihatan #KKM #koronavirus #Malaysia #Media #NGO #Noor Hisham Abdullah
;