PETRONAS terus pupuk generasi pelumba masa depan di Grand Prix Malaysia 2024
Astro Awani
November 21, 2024 13:40 MYT
November 21, 2024 13:40 MYT
KUALA LUMPUR: Kejohanan PETRONAS Grand Prix Malaysia 2024 yang berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC) baru-baru ini bukan sahaja menjadi tumpuan peminat sukan permotoran global, tetapi juga menandakan kejayaan besar buat PETRONAS sebagai penganjur acara bertaraf antarabangsa.
Ringkasan AI
- PETRONAS berjaya menganjurkan acara bertaraf antarabangsa ini dan memberi perhatian besar terhadap pembangunan bakat muda dalam sukan permotoran, terutamanya melalui inisiatif seperti Malaysian Cub Prix.
- PETRONAS melaksanakan inisiatif wildcard yang memberi peluang kepada pelumba Malaysia seperti Khairul Idham Pawi dan Helmi Azman untuk bertanding di litar antarabangsa di bawah pasukan PETRONAS MIE Racing Team.
- Acara ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Pavilion PETRONAS yang menawarkan pelbagai aktiviti interaktif, permainan, dan jualan koleksi rasmi, serta persembahan yang menambah keseronokan acara.
Sebagai syarikat tenaga global yang berperanan penting dalam penganjuran acara tersebut, PETRONAS turut memberi perhatian besar terhadap pembangunan bakat muda dalam sukan permotoran, terutamanya bagi melahirkan generasi pelumba baharu yang kompeten dan berdaya saing di peringkat global.
Sejak penubuhan Malaysian Cub Prix pada tahun 2003, PETRONAS telah mencatat sejarah penting dalam dunia sukan permotoran dua roda.
Melalui inisiatif penajaan yang berterusan, lebih 4,000 pelumba dan hampir 400 pasukan telah berpeluang untuk beraksi di litar perlumbaan profesional.
Salah seorang pengunjung yang hadir ke acara tersebut dikenali sebagai Afiq Haziq, turut menyatakan sokongannya terhadap usaha PETRONAS dalam memupuk bakat permotoran di peringkat awal.
“Bagi saya, untuk mencungkil bakat baharu kita perlu mengadakan lebih banyak penganjuran sukan permotoran di peringkat sekolah, seperti Cub Prix, klinik, bengkel, dan seminar.
"Saya nampak usaha PETRONAS yang serius dalam mengembangkan bakat muda, dari umur 12 tahun lagi mereka sudah diberi peluang untuk berlumba,” katanya.
Dalam usaha untuk menghasilkan pelumba tempatan yang mampu bersaing di pentas global, PETRONAS juga melaksanakan inisiatif wildcard, yang memberi peluang kepada pelumba Malaysia seperti Khairul Idham Pawi dan Helmi Azman untuk bertanding di litar antarabangsa di bawah pasukan PETRONAS MIE Racing Team.
Tidak hanya berfokus kepada perlumbaan, kemeriahan acara di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang turut ditambah dengan kehadiran Pavilion PETRONAS yang menawarkan pelbagai aktiviti interaktif dan persembahan.
Pengunjung yang hadir berpeluang untuk mendalami dunia permotoran dua roda melalui pelbagai pengalaman menarik termasuk permainan interaktif dan jualan koleksi rasmi PETRONAS.
Seorang pengunjung, Anira Adnan, sempat berkongsi keterujaannya apabila melihat kemeriahan bagi acara berprestif itu untuk tahun ini.
“Tahun ini lebih besar daripada yang saya jangka, sambutannya sangat meriah dan ada banyak gerai serta vendor yang menarik untuk dilawati.
"Aktiviti-aktiviti seperti VR dan pertunjukan band turut menambah keseronokan acara ini,” ujarnya.
PETRONAS Grand Prix Malaysia 2024 bukan sekadar sebuah acara perlumbaan, tetapi ia juga mengangkat imej negara, mengukuhkan legasi PETRONAS dan menginspirasi generasi muda untuk mengejar cita-cita mereka dalam dunia sukan permotoran antarabangsa.