Petronas syarikat nasional, bukan Semenanjung - PM Anwar
Hasimi Muhamad
Disember 21, 2024 16:24 MYT
Disember 21, 2024 16:24 MYT
SUBANG JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa penyelesaian secara baik akan diambil bagi menangani isu antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan syarikat minyak dan gas milik Sarawak, Petroleum Sarawak Bhd (Petros).
Perdana Menteri juga berkata, adalah penting untuk Petronas diiktiraf sebagai sebuah badan nasional dan semua obligasi kontraknya dihormati tanpa sebarang kompromi.
Walau bagaimanapun, Anwar berkata Petronas dan Petros boleh saling menyokong untuk berkembang dalam industri minyak dan gas.
"Petronas adalah syarikat nasional dan bukan syarikat semenanjung. Itu sangat jelas. Saya tak kisah apa permintaannya.
"Sarawak memutuskan untuk menubuhkan Petros. Sesetengah suara mengatakan Petros adalah satu-satunya pemegang tunggal (gas) dan akan menentukan segala-galanya. Itu bukan pandangan mereka dan pandangan saya.
"Jadi, adalah penting untuk Petronas diiktiraf sebagai badan nasional. Untuk menghormati semua obligasi kontrak tanpa kompromi. Petronas perlu mengiktiraf keperluan untuk menyokong Petros bagi membolehkannya (Petros) muncul sebagai pemain penting," katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau telah mengadakan perbincangan yang harmoni dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari mengenai perkara itu dan mencapai keputusan yang jelas.
"Ini pada asasnya adalah parameter luas yang kami percaya.
"Mereka (Sarawak) mengiktiraf peranan negara, manakala kita mengiktiraf peranan negeri, dan kita harus bekerjasama. Sebarang suara yang dibangkit oleh dua pihak, kita perlu tangani dengan bijaksana," tambah Anwar.
Pada 12 Disember lalu, Anwar dilapor berkata perbincangan mengenai pengagihan gas di Sarawak antara Petronas dan Petros telah selesai, dan kerajaan sedang memperhalusi butiran, parameter dan implikasi daripada langkah berkenaan.
Kerajaan Sarawak sebelum ini memutuskan Petros akan mengambil alih pembelian dan penjualan gas di negeri itu mulai 1 Julai lalu.
Bagaimanapun, Petronas meminta lanjutan masa untuk berunding dengan Petros kerana bimbang pengagihan gas ke Loji LNG di Bintulu akan terjejas.