PETRONAS sumbang aset berjumlah RM3.2 juta bantu persediaan hadapi Monsun Timur Laut

Astro Awani
Oktober 6, 2022 16:53 MYT
Anita Azrina percaya kolaborasi strategik bersama agensi terbabit sama ada peringkat negeri atau nasional akan meminimumkan impak bencana kepada mangsa. - Sumber foto PETRONAS
BANGI: Kumpulan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) menyumbangkan aset dan logistik berjumlah RM3.2 juta bagi persediaan menghadapi Monsun Timur Laut khususnya jangkaan bencana banjir yang diramal pada hujung tahun.
Pengurus Besar Besar Kanan, Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Datin Anita Azrina A Aziz berkata, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada sumbangan bernilai RM25 juta yang diperuntukkan syarikat itu dari Disember 2021 hingga Disember 2022.
Menurutnya, PETRONAS menyerahkan 36 buah bot aluminium beserta enjin, 8,800 Collapsible Tent, 5,500 jaket keselamatan dan 55,000 baju hujan kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang kemudian akan mengagihkannya ke seluruh negara.
Tambahnya, beliau percaya kolaborasi strategik bersama agensi terbabit sama ada peringkat negeri atau nasional akan meminimumkan impak bencana kepada mangsa.
“Harapan kami, itu sebab kami bekerjasama dengan APM kerana kami mahu bantuan yang kami beri ini dapat diterima oleh mangsa-mangsa secepat mungkin, ada ready stock dan terima kepada mangsa secara terus, mereka terima tanpa halangan, itu yang pertama.
“Kedua, kami rasa bila bencana, kita mesti ada quick action dan strategi yang baik dan bila bekerjasama dengan APM, mereka dah ada strategi untuk sampaikan, agihkan sumbangan ini secepat mungkin.
“Sebab itu kami kerjasama dengan mereka dan itu tujuan utama kami di Petronas,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Bencana Banjir Sumbangan PETRONAS Peringkat Kebangsaan dengan Kerjasama APM pada Khamis.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed.
Dalam pada itu, Abdul Latiff menghargai inisiatif Petronas yang memberikan komitmen membantu persediaan bencana banjir.
“Kami di peringkat responden berasakan komitmen Petronas ini melegakan dan membantu menambah aset yang sudah sedia ada.
“Tahun ini di peringkat APM kita baru sahaja melantik MRO (pembuatan, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih) untuk enjin dan bot.
“Dengan adanya penyelenggaraan yang berskala, saya yakin peralatan ini apabila kita seragamkan dengan bomba, polis, tentera, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan APM beserta dengan komitmen NGO terutama NGO tempatan akan membantu memantapkan tahap kesiapsiagaan sewaktu kita berhadapan Monsun Timur Laut dijangka pada November depan hingga Mac tahun depan,” tambahnya.
#Petronas #NADMA #APM #monsun timur laut
;