Petronas sumbang 500 set gas kepada mangsa banjir

Siti Nur Aqilla Omar
April 10, 2023 09:51 MYT
Petronas menyumbangkan sebanyak 500 set gas yang bernilai RM79,550 kepada Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) bagi membantu mangsa banjir negeri ini khususnya di Batu Pahat. - Gambar ihsan YRZSNJ
JOHOR BAHRU: Petronas menyumbangkan sebanyak 500 set gas yang bernilai RM79,550 kepada Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) bagi membantu mangsa banjir negeri ini khususnya di Batu Pahat.
Sumbangan itu diserahkan Pengurus Wilayah Selatan Petronas Dagangan Berhad, Erwannudin Noor kepada Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ, Hishamuddin Abd Rahim.
Dalam hantaran media sosial facebook terbaharu YRZSNJ, Hishamuddin berkata, sumbangan ini amat bermakna kepada mangsa banjir yang akan menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.
"YRZSNJ merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Petronas atas sumbangan tersebut yang dilihat sebagai suatu usaha bantuan pasca banjir, terutamanya bagi mereka yang bakal menyambut perayaan Hari Raya nanti," katanya.
Sementara itu, Wakil Pengusaha Stesen Minyak Petronas Selatan 2, Datuk Suhaila Ahmad berkata, sumbangan berkenaan merupakan antara usaha membantu mangsa banjir yang terkesan, terutama di Batu Pahat yang menjadi daerah paling buruk dilanda banjir pada Februari lalu.
"Alhamdulillah, kita sudah mengagihkan set gas memasak ini dengan kerjasama Pejabat Daerah Batu Pahat kepada mangsa banjir, khususnya di Parit Warijo yang mana hampir 98 peratus rumah penduduk di kawasan itu ditenggelami banjir.
"Kita berharap dengan bantuan ini, ia dapat meringankan bebanan mangsa sepanjang bulan ramadan dan memberi sinar pada Hari Raya Aidilfitri nanti," katanya.
Selain set gas memasak, Petronas turut menyumbangkan bakul makanan dan keperluan pembersihan pada bantuan pasca banjir.
Pada 28 Februari lalu, Batu Pahat merupakan daerah paling serius dilanda bencana banjir baru-baru ini dan telah melibatkan kira-kira 38,000 orang penduduk.
#banjir #Petronas #500 set gas #Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor
;