Petronas sahkan semua kakitangan di Sudan selamat

Astro Awani
April 16, 2023 14:52 MYT
Kenyataan itu memaklumkan kakitangan kumpulan Petronas selamat di kediaman masing-masing atau berada di luar negara. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Semua kakitangan Petronas warga Malaysia di Republik Sudan berada dalam keadaan selamat dan dapat dikesan.
Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dalam satu kenyataan memaklumkan rakyat Malaysia yang lain serta penghuni di Kompleks Petronas Sudan yang menempatkan premis kediaman dan pejabat kedutaan Malaysia di Khartoum juga selamat.
Kenyataan pada Ahad itu juga memaklumkan kakitangan kumpulan Petronas selamat di kediaman masing-masing atau berada di luar negara.
Petronas juga memberitahu pihaknya sedang memantau keadaan dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan untuk memastikan keselamatan semua kakitangan yang kekal menjadi keutamaannya.
Konflik di antara tentera Sudan dan Rapid Support Forces (RSF) berlanjutan hingga Sabtu malam di ibu negara Khartoum, mencetuskan kebimbangan terhadap konflik yang lebih meruncing di negara itu.
Serangan berhampiran pangkalan RSF di selatan Khartoum pada waktu pagi dengan cepat merebak ke kawasan lain di ibu negara, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum.
Pertempuran berterusan sehingga malam, manakala penduduk setempat mendakwa bunyi tembakan dan letupan masih kedengaran termasuk di sekitar ibu pejabat tentera dan pangkalan lain.
#Petronas #Sudan #Khartoum #RSF #konflik #tentera Sudan #kakitangan
;