Petronas jangan melengahkan bayaran SST ke atas Sarawak
Rudi Affendi Khalik
Mac 16, 2020 06:20 MYT
Mac 16, 2020 06:20 MYT
Petroliam Nasional Berhad (Petronas) diharap tidak melengahkan bayaran Cukai Jualan Negeri (SST) ke atas produk petroleum negeri itu.
Menerusi kenyataan terbaharu yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri Sarawak, Kerajaan Sarawak amat mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi pada Jumaat lalu untuk menolak permohonan semakan kehakiman oleh Petronas ke atas kerajaan negeri ekoran mengenakan cukai tersebut ke atas produk petroleum.
Dalam pada itu, ianya menjelaskan bahawa Sarawak sentiasa berpendirian teguh berkenaan hak untuk mengenakan SST yang tertakluk di dalam Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama dengan Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
Dengan keputusan ini, diharapkan tiada kelewatan terhadap pembayaran SST dilaksana melalui sebarang kemungkinan rayuan dan permohonan lain oleh PETRONAS.
Keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Azhahari Kamal Ramli adalah berdasarkan peruntukan undang-undang yang jelas serta harus diakui dan dipatuhi oleh syarikat minyak nasional itu.
Jelasnya, Sarawak berhak untuk mengenakan cukai sedemikian di bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri.
Untuk rekod, cukai dikenakan keatas syarikat petroleum yang mengeksport hasil minyak negeri tersebut adalah bertujuan untuk memacu agenda pembangunannya demi manfaat rakyat Sarawak.
Buat masa ini, Petronas masih belum lagi melunaskan hutang RM1.3 billion ke atas SST yang dikenakan kerajaan negeri itu.
#Astro Awani
#AWANI Sarawak
#Cukai Jualan Negeri
#Hakim Kamal Azhahari Kamal Ramli
#Kerajaan Sarawak
#Pejabat Ketua Menteri Sarawak
#Petroliam Nasional Berhad
#Petronas
#Sarawak
#SST