Petronas Free Market sasar bantu golongan B40

Madiha Abdullah
September 14, 2019 20:09 MYT
Kamal Bahrin bersama pengunjung Free Market yang berlangsung di SK Damansara Damai 1. - Petronas
Petronas Gas Berhad (PGB) melunaskan satu lagi cabang tanggungjawab sosialnya menerusi program tahunan Free Market yang mensasarkan bantuan kepada golongan B40.
Memasuki tahun kelima penganjuran, kira-kira 500 keluarga di sekitar kawasan Damansara Damai diberi peluang membawa balik pelbagai barangan pre-loved (terpakai) seperti pakaian, buku dan alat mainan yang masih dalam keadaan baik, secara percuma.
Program yang berlangsung di SK Damansara Damai itu mendapat sambutan yang sangat baik daripada penduduk setempat yang memenuhi kawasan sekolah seawal pagi lagi.
"Ini petanda kerjasama erat antara PGB, pihak sekolah, guru besar serta PIBG yang amat memberansangkan dan ia memberikan kami semangat untuk meneruskannya di masa akan datang," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PGB, Kamal Bahrin Ahmad.
Bukan itu sahaja, sumbangan zakat sebanyak RM100 turut diagihkan kepada 500 pelajar dalam kumpulan sasar oleh Badan Kebajikan Kakitangan Islam Petronas (BAKIP), dengan objektif meringankan beban ibu bapa dalam membuat persiapan kelengkapan persekolahan untuk sesi akan datang.
"Selain daripada barang-barang pre-loved yang disumbangkan oleh staf petronas sendiri, kita juga ada sumbangan zakat kepada pelajar dan keluarga kurang mampu atau B40.
"Harapnya sumbangan ini akan beri semangat kepada para pelajar untuk terus maju dalam pembelajaran," tambah Kamal Bahrin.
Bagi pihak sekolah, apa yang dilakukan Petronas sangat dialu-alukan memandangkan ia bukan sahaja memberi suntikan semangat kepada pelajar tetapi juga dilihat sebagai usahasama yang mengeratkan lagi hubungan sebuah organisasi korporat dan masyarakat.
"Komuniti juga bersama sekolah dan syarikat-syarikat besar seperti Petronas membantu mencapai tujuan kita untuk mengekalkan kecemerlangan. Kami berterima kasih dengan bantuan ini kerana membuatkan para pelajar berasa dihargai dan beri motivasi untuk mereka ke sekolah," kata Mohd Ramzan Yusoff, Yang di-Pertua PIBG SK Damansara Damai 1.
Setakat ini, PGB dan Petronas telah menganjurkan pelbagai aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) berdasarkan tiga teras iaitu pembangunan pendidikan, kesejahteraan komuniti dan kelestarian alam sekitar.
Antara yang telah dijalankan ialah program Sentuhan Kasih Bencana Alam, Sentuhan Kasih Perayaan dan Sentuhan Kasih Ilmu.
#Badan Kebajikan Kakitangan Islam Petronas #BAKIP #Damansara Damai #golongan B40 #Kamal Bahrin Ahmad #Petronas #Petronas Free Market #Petronas Gas Berhad #PGB #SK Damansara Damai #tanggungjawab sosial
;