Petronas buat bayaran tunai lima peratus jika petroleum didapati dan diperoleh di Terengganu

Bernama
Julai 17, 2024 06:00 MYT
Azalina berkata kerajaan Persekutuan sentiasa memberikan peruntukan pembangunan kepada semua negeri termasuk Terengganu. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) hanya akan membuat pembayaran wang tunai sebanyak lima peratus kepada kerajaan negeri Terengganu sekiranya petroleum didapati dan diperoleh di negeri itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ini berdasarkan perjanjian pembayaran wang tunai yang telah ditandatangani antara Petronas dan kerajaan negeri Terengganu pada 22 Mac 1975 yang selaras dengan seksyen 4 Akta Kemajuan Petroleum (PDA).
Katanya peruntukan PDA hendaklah dibaca bersama Akta Laut Wilayah 2012 [Akta 750] (TSA) yang menetapkan had laut wilayah negeri pada takat tiga batu nautika dari garis air surut.
"Oleh itu, sekiranya tiada petroleum didapati dan diperoleh dalam sempadan lebar laut wilayah negeri Terengganu setakat tiga batu nautika, tiada pembayaran wang tunai berdasarkan PDA dan perjanjian wang tunai perlu dibuat oleh Petronas.
"Persoalan sama ada TSA menjejaskan pemakaian PDA atau mana-mana surat cara dan perjanjian yang telah dibuat di bawahnya adalah tidak berbangkit," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) yang ingin tahu sejauh mana Akta Laut Wilayah 2012 boleh membatalkan Akta 144, Surat Cara Pemberian Hak, Kuasa, Kebebasan dan Keistimewaan Berkenaan Petroleum 1975 dan Perjanjian Tambahan Petronas dan Negeri Terengganu 1987 dalam memberikan hak royalti petroleum kepada negeri Terengganu.
Azalina berkata kerajaan Persekutuan sentiasa memberikan peruntukan pembangunan kepada semua negeri termasuk Terengganu.
Merujuk kepada kenyataan media oleh Pejabat Perdana Menteri berhubung kerajaan negeri Terengganu menolak pemakaian Akta Laut Wilayah 2012 [Akta 750] bertarikh 27 April 2024, katanya menjadi pendirian kerajaan Persekutuan bahawa Akta 750 telah dibuat oleh Parlimen secara sah di sisi Perlembagaan Persekutuan dan masih terpakai di seluruh Malaysia termasuk di negeri Terengganu, melainkan ia diisytiharkan sebaliknya oleh mahkamah.
-- BERNAMA
#Petronas #bayaran lima peratus #Azalina Othman #petroleum didapati dan diperoleh #Dewan Rakyat #Parlimen #Ahmad Samsuri Mokhtar