Petronas, anak syarikat tidak perlu dilesenkan laksana pengoperasian petroleum di Sarawak
Bernama
Februari 5, 2025 21:15 MYT
Februari 5, 2025 21:15 MYT
Azalina berkata kerajaan Persekutuan, Petronas dan kerajaan negeri Sarawak/Petros juga kini sedang memperhalusi beberapa perkara termasuklah dari segi implikasi perundangan yang berkaitan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) serta anak syarikatnya tidak perlu dilesenkan dan tidak tertakluk kepada sebarang prosedur tambahan untuk melaksanakan pengoperasian petroleum di Sarawak, selain yang telah diperuntukkan dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ia antara lima perkara dipersetujui dalam mesyuarat antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengenai tuntutan hak negeri itu terhadap sumber minyak dan gas pada 7 Jan lepas.
"Kerajaan negeri Sarawak mengiktiraf dan menerima Akta Kemajuan Petroleum 1974 (Akta 144) sebagai akta Persekutuan yang menentukan tatakelola dasar dan pengoperasian industri petroleum di Malaysia.
"Petronas menerima peranan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sebagai agregator gas (bukan LNG) di Sarawak dan bersedia bekerjasama dengan Petros di Sarawak," katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Chong Chien Jen (PH-Stampin) berhubung terma penyelesaian antara Petronas dengan kerajaan negeri Sarawak berhubung tuntutan hak negeri itu atas minyak dan gas yang dikeluarkan dari Sarawak.
Turut dipersetujui dalam mesyuarat itu ialah semua komitmen perjanjian sedia ada yang telah dimasuki antara Petronas dengan pihak ketiga termasuk Petros berkaitan dengan aktiviti petroleum di Sarawak adalah sah, perlu diterima pakai dan diteruskan tanpa sebarang perubahan.
Kedua-dua pihak turut bersetuju agar semangat kerjasama sepenuhnya diterapkan antara Petronas dan Petros dalam semua urusan.
Azalina berkata kerajaan Persekutuan, Petronas dan kerajaan negeri Sarawak/Petros juga kini sedang memperhalusi beberapa perkara termasuklah dari segi implikasi perundangan yang berkaitan.
-- BERNAMA