Petron ajak jalan-jalan keliling Malaysia
Ehsan A Marisah
Oktober 29, 2021 14:10 MYT
Oktober 29, 2021 14:10 MYT
KUALA LUMPUR: Syarikat minyak dan gas, Petron Malaysia dengan kerjasama Tourism Malaysia menyasarkan seramai 1,156 pemenang bertuah melalui kempen ‘Jom Jalan Jalan’ yang bermula hari ini hingga Mac tahun depan.
Bersesuaian dengan tema ‘Jom Jalan-jalan’, selain pakej penginapan, pelanggan juga berpeluang untuk meneroka tempat-tempat percutian domestik serta memenangi wang tunai dan poin Petron Miles.
Kempen tersebut terbuka kepada semua pelanggan syarikat itu secara automatik apabila mereka menggunakan kad Petron Miles (PMiles).
Pelanggan hanya perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM250 sebulan bagi melayakkan mereka membawa pulang hadiah utama, sementara RM50 sebulan minimum bagi memenangi hadiah yang lain.
Pengurus Besar Petron Malaysia, Faridah Ali berkata, kempen itu adalah sebagai menghargai kesetiaan pelanggan kepada syarikat itu.
“Setelah lama di bawah sekatan pergerakan akibat pandemik ini, kami teruja untuk bekerjasama dengan Tourism Malaysia dan rakan kongsi pengendali pelancongan tempatan untuk memberi ganjaran kepada pelanggan kami melalui pakej percutian yang menakjubkan untuk dinikmati bersama-sama orang tersayang.
“Kami teruja menjadi sebahagian daripada mempromosikan pelancongan domestik dan merancakkan pemulihan ekonomi negara,” katanya dalam pada pelancaran kempen Jom Jalan Jalan, pada Rabu.
Mengulas lanjut, Faridah menambah, pemilihan para pemenang akan dilakukan mengikut kategori wilayah iaitu utara, pantai timur, tengah, selatan, Sabah dan Sarawak.
“Ini adalah cara kami untuk menzahirkan penghargaan kepada pelanggan kami yang sentiasa bersama serta menyokong kami sepanjang tahun.
“Kami berharap dapat memberikan lebih banyak detik #PetronFuelHappy dengan ganjaran eksklusif seperti kempen ini pada setiap kali mereka menggunakan kad Petron Miles,” ujarnya.
Sementara itu, seramai enam pemenang hadiah utama pakej pelancongan bernilai sehingga RM20,000 akan mendapat pakej daripada Tiarasa Escapes Glamping Resort, Sepilok Forest Edge atau Culvert Santubong, ganjaran wang tunai, minyak daripada Petron serta boleh membawa enam hingga 10 ahli keluarga.
Selain hadiah utama, 10 pelanggan tambahan pula akan mendapat pakej pelancongan bernilai RM5,000, ganjaran wang tunai dan minyak setiap bulan sepanjang kempen berlangsung serta boleh membawa sehingga empat ahli keluarga dan rakan-rakan.
Tidak henti di situ, malah 100 pemenang saguhati yang terpilih juga akan menerima baucar VIP bernilai RM2,000 bagi pakej percutian tujuh hari enam malam (7H6M) di hotel, wang tunai RM300, mata PMiles RM300, manakala 1,000 pemenang mingguan lagi akan menerima poin PMiles berjumlah RM200.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ‘Jom Jalan Jalan’, orang ramai boleh melayari www.petronmiles.com.my.
Petron Malaysia | Petron lancar kempen 'Jom Jalan Jalan'