Petrol, diesel seludup dirampas

Bernama
Oktober 10, 2013 04:52 MYT
Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna telah menumpas cubaan menyeludup 1,920 liter petrol dan 2,700 liter diesel ke negara jiran dalam Operasi Landai di kawasan perairan Semporna.
Komander PPM Sabah ACP Mohammad Madun berkata minyak petrol dan diesel berkenaan dirampas daripada empat buah bot yang diperiksa anggotanya dalam operasi 12 jam yang bermula jam 5 petang pada 8 Okt.
"Turut diberkas ialah seorang lelaki rakyat asing berumur 45 tahun," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya tiga lagi juragan bot meloloskan diri selepas terjun ke laut meninggalkan bot masing-masing apabila menyedari kehadiran polis marin.
Nilai rampasan termasuk bot berserta injin ialah RM25,558.
#diesel #Mohammad Madun #Operasi Landai #petrol #seludup #Semporna