Petisyen raih sokongan untuk The Edge, Sarawak Report dilancar
Astro Awani
Julai 26, 2015 22:08 MYT
Julai 26, 2015 22:08 MYT
Sebuah pergerakan yang menuntut keadilan dan kebebasan, Aliran hari ini melancarkan satu petisyen menuntut agar penggantungan tiga bulan ke atas The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily berhubung laporan mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditarik balik.
Petisyen itu turut mendesak agar sekatan ke atas laman sesawang Sarawak Report juga ditarik balik.
Petisyen itu menyifatkan tindakan penggantungan oleh Kementerian Dalam Negeri itu seolah-olah menyekat kebebasan media.
"Kami mengutuk cubaan untuk menutup perbincangan tentang 1MDB," kata petisyen itu.
"Individu yang boleh dianggap sebagai rakyat Malaysia yang setia dan para wartawan di The Edge serta Sarawak Report kini dianiaya secara tidak adil kerana mendedahkan kepada orang ramai tentang salah laku berhubung isu 1MDB," kata petisyen itu.
Setakat ini, petisyen berkenaan mendapat 123 sokongan.
Pada Jumaat, The Edge dalam satu kenyataan berkata, KDN melalui satu surat telah menyatakan laporan mengenai isu 1MDB oleh kedua-dua penerbitan tersebut memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan atau mungkin menimbulkan pendapat umum atau mungkin memudaratkan kepentingan awam dan negara.
Dalam pada itu, Kumpulan Media The Edge akan berusaha untuk menarik balik status penggantungan dua penerbitannya The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily dengan mengunakan saluran undang-undang termasuk dengan membawa kes itu ke mahkamah.
Sebuah perhimpunan besar bakal diadakan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) media Ogos depan sebagai tanda solidariti kepada kumpulan media The Edge yang digantung penerbitan akhbar harian dan mingguannya bermula Isnin ini.
Kempen solidariti media sosial juga dilancarkan dengan penggunaan hashtag #AtTheEdge.