Petisyen henti pembalakan: ABIM gesa kerajaan, pihak terlibat bertindak segera

Astro Awani
Januari 5, 2022 11:23 MYT
ABIM menegaskan bencana yang berlaku di luar jangka ini punya perkaitan rapat dengan situasi perubahan iklim yang berlaku. -Gambar hiasan/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa mengenakan moratorium atau pemberhentian segera terhadap sebarang aktiviti pembalakan.
Gesaan itu dibuat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) melalui petisyen yang sehingga kini telah ditandatangani lebih 200,000 individu.
Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, perubahan iklim yang melanda adalah akibat kerosakan serta kemusnahan alam yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab, khususnya menerusi aktiviti pembalakan yang kian berleluasa.
"ABIM menegaskan bencana yang berlaku di luar jangka ini punya perkaitan rapat dengan situasi perubahan iklim yang berlaku.
"Perubahan iklim menyebabkan berlakunya ketidaktentuan cuaca seperti yang berlaku sekarang dengan keadaan ketidakbolehjangkaan berlakunya sesuatu musim mengikut masa kebiasaan.
"Situasi ini mengakibatkan ketidaktentuan waktu hujan turun dan kadar taburan hujan pada sesuatu masa.
"Maka, ini menjadi penyebab berlaku banjir besar apabila kemudahan yang disediakan bagi membendung limpahan air tidak dapat berfungsi," katanya dalam kenyataan itu.
Mengulas lanjut, Muhammad Faisal berkata, petisyen yang dilancarkan telah mengabsahkan tuntutan serta kekhuatiran rakyat terhadap aktiviti pembalakan yang jelas memusnahkan alam serta mengakibatkan lebih banyak bencana kepada negara.
Katanya, hutan ialah kaedah paling murah dan paling berkesan dalam menangani isu perubahan cuaca dan iklim.
"Hutan amat berkesan dengan memerangkap karbon diaoksida iaitu gas yang menjadi punca kepada perubahan iklim," ujarnya lagi
Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Faisal berkata ABIM menyambut baik arahan yang dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang pada 3 Januari lalu untuk menangguhkan sementara aktiviti pengusahasilan hutan dan pengangkutan kayu balak.
Arahan tersebut seharusnya diikuti oleh pihak berkuasa di negeri-negeri lain seluruh negara bagi memastikan usaha memelihara alam ini dapat dijayakan secara holistik dan berkesan, tambahnya.
#ABIM #Petisyen henti pembalakan #Moratorium #Muhammad Faisal Abdul Aziz
;