Petisyen bebas Anwar: White House kecewa dengan sistem kehakiman Malaysia
Astro Awani
Mac 13, 2015 15:52 MYT
Mac 13, 2015 15:52 MYT
White House hari ini menyatakan kekesalannya terhadap sabitan liwat ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, sebelum ini ia telahpun melahirkan rasa kecewanya atas sabitan itu melalui kenyataan media dan komunikasi dengan kerajaan Malaysia dan akan terus berbuat demikian.
“Keputusan awal untuk mendakwa Anwar, tindakan untuk merayu keputusan tidak bersalah, dan membatalkan keputusan itu, menimbulkan beberapa kebimbangan yang serius tentang kedaulatan undang-undang dan keadilan sistem kehakiman di Malaysia.
“Kebimbangan ini diperhebatkan lagi dengan niat kerajaan untuk memperluaskan Akta Hasutan, yang dijanji akan dimansuhkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, tetapi digunakan untuk mendakwa pengkritik kerajaan,” kata White House dalam satu kenyataan media.
White House mengeluarkan kenyataan itu susulan petisyen membebaskan Anwar di laman webnya mencatatkan 113,844 tandatangan, melebihi sasaran 100,000.
Ia berkata Amerika Syarikat komited bekerjasama dalam menghadapi cabaran ekonomi dan keselamatan, namun akan terus menggesa Malaysia memohon melaksanakan kedaulatan undang-undang secara adil, telus dan tanpa penglibatan politik.
"Sejarah membuktikan negara-negara yang menegakkan hak asasi manusia bagi semua rakyat mereka - tanpa mengira fahaman politik, etnik, bangsa, agama, atau orientasi seksual mereka - akhirnya lebih makmur dan stabil,” katanya.