Peter Anthony kekal Presiden KDM Malaysia

Bernama
Disember 19, 2023 21:16 MYT
Peter berkata KDM Malaysia, akan terus memainkan peranannya dalam membantu dan memartabatkan masyarakat KDM di Sabah. - Gambar fail/Bernama
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri Melalap Datuk Peter Anthony, kekal sebagai Presiden Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia bagi penggal 2024-2026.
Keputusan itu dibuat Mesyuarat Agung Tahunan KDM Malaysia itu hari ini, yang turut menyaksikan Henry Saimpon dipilih sebagai Timbalan Presiden KDM Malaysia.
Mesyuarat itu turut memilih lima Naib Presiden iaitu Datuk Baitin Adun, Jack Jatil Junggak, Gabriel George Tulas, Dr Oswald Aigat Igau dan Abu Bakar Ellah.
Sementara itu, Jaiping Minsu dan Jaimon Susa masing-masing dipilih sebagai Setiausah Agung dan Penolong Setiausaha Agung, manakala Lazarus Anthony dan Presley Peter masing-masing dipilih sebagai Bendahari Agung dan Penolong Bendahari Agung.
Peter ketika berucap pada mesyuarat itu berkata KDM Malaysia, akan terus memainkan peranannya dalam membantu dan memartabatkan masyarakat KDM di Sabah.
"Saya mengucapkan tahniah kepada kepimpinan KDM Malaysia yang dipilih ini dan saya harap kepimpinan ini akan membantu KDM Malaysia dalam membantu dan memartabatkan masyarakat KDM di negeri yang kita cintai ini.
"Saya juga menerima baik cadangan-cadangan yang dikemukakan barisan Ahli Majlis Tertinggi, kita akan melihat cadangan-cadangan ini seterusnya dibincangkan, mana yang sesuai kita akan laksanakan," katanya.
KDM Malaysia merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertujuan membantu dan menjaga kebajikan rakyat di Sabah, antaranya dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan didaftarkan pada September 2011.
-- BERNAMA
#KDM Malaysia #ADUN Melalap #aktiviti kemasyarakatan #NGO
;