Petekma rayu Kerajaan dengar isi hati pemandu teksi
Hilal Azmi
Mac 23, 2015 16:14 MYT
Mac 23, 2015 16:14 MYT
Pengusaha teksi merayu agar kerajaan meneruskan penetapan kadar tambang baharu dan tidak menangguhkannya seperti keputusan Kabinet minggu lalu.
Presiden Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi,Limosin dan Kereta Sewa (Petekma), Mohd Syahrir Abdul Aziz berkata, Kabinet harus melihat rayuan itu dari segi bebanan yang dihadapi terutama pemandu teksi yang sudah menyelaras meter kenderaan masing-masing.
"Kami benar-benar berharap Kabinet dapat memikirkan kesusahan semua, kami menyediakan perkhidmatan dari pintu ke pintu terus ke pelanggan. Dalam erti kata lain ia mensasarkan kepada golongan sasar sahaja," katanya semasa sidang media Petekma di sini hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar mengumumkan penetapan kadar tambang baharu bagi perkidmatan teksi akan berkuatkuasa dengan serta merta manakala bagi bas ekspres pula, bermula pada 15 Mei ini.
Jelasnya, penetapan kadar baharu itu adalah berikutan berlakunya kenaikan kos termasuk penyelenggaraan, insurans dan kos sara hidup.
Jelas Syahrir, kajian SPAD harus menyeluruh kepada operasi dan kenaikan kos sara hidup yang selama ini diserap pengusaha teksi.
"Kami difahamkan SPAD kata akan akur kepada arahan kabinet melalui media massa, berita tetapi arahan rasmi mengatakan ditangguh, saya masih tak dapat lagi," ujarnya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kemungkinan protes yang akan dilakukan, ini katanya;
"Saya minta lebih baik kita duduk berunding kerana kita tahu kerajaan kita memahami, mereka kata mahu tangguh dan bukan batal, jadi kita mohon dan merayu diteruskan."
#Mohd Shahrir Abdul Aziz
#Nancy Shukri
#Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia
#PETEKMA
#SPAD