Petekma janji perkhidmatan lebih baik dengan pengekalan tambang baharu
Bernama
Mac 23, 2015 22:53 MYT
Mac 23, 2015 22:53 MYT
Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma) berjanji akan memberikan perkhidmatan yang lebih baik untuk penumpang berikutan pengumuman kerajaan mengekalkan tambang baharu teksi.
Presiden Petekma Mohd Shahrir Abdul Aziz memberitahu beliau berjanji untuk menyegerakan pemasangan meter pada 23,000 teksi dalam pertubuhannya seperti yang dikehendaki oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
Beliau percaya penumpang akhirnya akan menerima kenaikan tambang dan memahami kadar semasa tidak cukup untuk menampung kos operasi sesebuah teksi.
"Kebanyakan kami berterima kasih kepada Kabinet dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan keputusan untuk mengekalkan tambang baharu yang diumumkan pada Khamis," katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri hari ini mengumumkan kadar tambang teksi baharu dikekalkan, selepas Kabinet meminta SPAD menangguhkan kenaikan tambang pengangkutan awam, pada 21 Mac lepas.
Pada 19 Mac, SPAD mengumumkan kenaikan tambang teksi antara 20 ke 67 peratus
berkuatkuasa serta merta sementara kenaikan 22.6 peratus tambang bas ekspress bermula 15 Mei depan.
#Mohd Shahrir Abdul Aziz
#Nancy Shukri
#Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia
#PETEKMA
#SPAD