Petani rugi, air bergenang dalam petak sawah

Adie Sufian Zulkefli
Mei 24, 2022 12:20 MYT
Para petani terpaksa mengumpul wang dan menyewa jentera pengorek (Bacho) bagi membuang pokok kemili dan mendalamkan tali air. - Astro AWANI
JERLUN: Lebih 300 petani di Kampung Pida 6, Jerlun mengalami kerugian apabila jadual tanaman semula padi terpaksa berganjak dan berlaku kelewatan selepas petak sawah tidak dapat dikeringkan dan digenangi air.
Kata mereka, sepatutnya jadual penanaman semula musim kedua tahun ini telah berjalan awal Mei lalu dan kini mereka terpaksa menanggung kos membajak semula tanah sawah.
Menurut bekas Ketua Unit Kampung Pida 6, Kholit Taib, 56 tahun, kesemua petani yang menjalankan penanaman padi di kawasan sawah di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), kini menangung kerugian selepas benih padi yang ditabur musnah disebabkan petak sawah ditakungi air dan tidak dapat mengalir keluar ke tali air dengan sempurna.
Katanya, pokok kemelin yang berada di dalam tali air menyekat aliran air dan ini mengakibatkan mereka tidak dapat mengepam keluar air di petak sawah.
"Mereka syor suruh kita tabur dalam air, memang ada yang berjaya ada yang tak berjaya pada musim lepas.
"Kita banyak yang tak berjaya dan petani ini terpaksa keluarkan duit sendiri dua kali ganda hingga tabur tiga kali pun ada," katanya.
Saad Abdul, 83 tahun, berkata dia sudah mengusahakan sawah di Kampung Sena selama lebih 40 tahun dan kejadian yang berlaku menyebabkan dia kini terpaksa mengulang semula proses taburan benih padi itu.
Dia mula menabur benih padi pada Ramadan lalu dan ketika itu tiada masalah namun sebaik memasuki Aidilfitri pertama, hujan berlaku.
Katanya, apabila hujan turun, aliran air sungai juga memasuki petak sawah menyebabkan ia tergenang dan terus bertakung sehingga merosakkan benih padi.
Katanya, kejadian itu menyebabkan padi yang baru tumbuh 50 peratus mati dan dia kerugian lebih RM2,000.
Bagi mengatasi masalah itu petani terpaksa mengumpul wang dan menyewa jentera pengorek (Bacho) bagi membuang pokok kemili dan mendalamkan tali air.
Justeru petani merayu pihak MADA mengambil tindakan menyelenggara tali air dengan baik dan sempurna.
Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar Teknikal MADA, Nik Kun Nik Man, ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan, kerja penyelenggaraan tali air terhenti sebelum ini disebabkan berlaku kerosakan pada jentera pengorek.
Beliau berkata, kerja pembaikan jentera sedang dilakukan kerana memerlukan penggantian komponen mekanikal dan dijangka siap pada 24 Mei.
Seterusnya kerja-kerja pembersihan tali air tersebut akan disambung semula pada 25 Mei.
#petani #kerugian #tali air tersekat #petak sawah digenangi air
;