Petani, penternak di Johor digesa guna teknologi terkini - Exco

Bernama
Julai 27, 2024 20:45 MYT
Zahari berkata teknologi moden boleh diaplikasikan dalam semua peringkat bermula daripada semaian hingga tuaian hasil. - Foto fail/BERNAMA
BATU PAHAT: Petani dan penternak di Johor perlu menggunakan teknologi terkini berbanding hanya bergantung dengan kaedah tradisional bagi mencapai hasil lebih optimum.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor Datuk Zahari Sarip berkata teknologi moden boleh diaplikasikan dalam semua peringkat bermula daripada semaian hingga tuaian hasil.
"Masalah tidak mahu menggunakan teknologi ini tidak boleh dipandang ringan kerana kita akan ketinggalan dalam memasarkan hasil pertanian sekiranya masih menggunakan cara lama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Agro Johor 2024 di Dataran Gemilang Yong Peng di sini pada Sabtu.
Beliau berkata perubahan dalam kaedah pertanian juga membolehkan golongan petani dan penternak meningkatkan pendapatan mereka.
Mengenai Karnival Agro Johor, Zahari berkata pihaknya mensasarkan kehadiran lebih 10,000 pengunjung dengan nilai jualan mencecah RM400,000.
Karnival tiga hari bermula Jumaat itu telah memasuki tahun ketiga penganjuran yang mengetengahkan hasil tanaman serta ternakan.
-- BERNAMA
#petani #penternak #Johor #teknologi terkini