Petani Kedah disaran tanam harumanis ekoran permintaan tinggi
Bernama
Mei 7, 2024 04:15 MYT
Mei 7, 2024 04:15 MYT
JITRA: Petani di Kedah disaran mengambil peluang mengusahakan tanaman mangga harumanis berikutan permintaan terhadap buah itu yang dinamakan sebagai Harumanis D'Aman di negeri ini, kini sudah mula meraih perhatian dan mendapat permintaan yang tinggi.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Harumanis Kedah Othman Ismail berkata jika petani mengambil kesempatan itu ia mampu memberi pulangan berganda kepada mereka yang mengusahakan tanaman berkenaan secara aktif.
"Permintaan dari seluruh Malaysia semakin bertambah sehingga buah tidak mencukupi. Mengikut kajian oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dari aspek kualiti dan kewangian harumanis Kedah hampir sama dengan Perlis.
"Kalau ikut cuaca di Kedah pun, perbezaan suhu dengan Perlis hanya satu darjah Celsius sahaja, tetapi ia melepasi tahap yang diperlukan... jadi, rugi sekiranya petani tidak menanam harumanis kerana pulangannya berganda berbanding tanaman padi," katanya kepada pemberita di sebuah ladang harumanis di Kodiang, dekat sini pada Selasa.
Beliau berkata bagaimanapun hasil tanaman harumanis pada musim ini berkurangan kira-kira 50 peratus berbanding lebih 100 tan metrik musim lepas berikutan faktor cuaca panas yang ekstrem selain pengusaha berhadapan dengan masalah kekurangan sumber air.
Othman berkata Persatuan Pengusaha Harumanis Kedah yang ditubuhkan pada 2016 kini mempunyai 128 pengusaha yang aktif mengusahakan tanaman buah berkenaan di tanah seluas 110 hektar melibatkan beberapa daerah antaranya Kubang Pasu, Yan dan Kuala Nerang.
Seorang pengusaha harumanis di Pida 7, Ahmad Mat Hassan berkata dia mula mengusahakan tanaman itu sejak 2015 dan kini mempunyai 94 pokok di tanah seluas satu hektar yang mampu menghasilkan lebih 15,000 buah.
"Tahun ini saya anggarkan lebih empat tan metrik hasil buah diperoleh berbanding dua hingga tiga tan metrik pada tahun-tahun sebelum ini. Saya harap penanaman dapat diperluas di negeri ini dan tidak mustahil mampu setanding dengan harumanis Perlis... mungkin jauh lebih sedap," katanya.
Datuk Mohd Yusof Ismail yang memiliki kira-kira 5,000 pokok harumanis di sekitar Padang Sera, Alor Setar, Kuala Nerang dan Pokok Sena pula menyifatkan pulangan yang diperoleh daripada tanaman itu cukup memuaskan.
"Kualiti Harumanis D'Aman ini mungkin jauh lebih baik berbanding negeri jiran kita, kita mahu pastikan buah yang dihasilkan di Kedah ini menjadi buah terbaik di pasaran. Petani boleh tanam harumanis di kawasan tanah lapang milik mereka, tanam 30 pokok pun sudah mampu beri pulangan yang banyak.
"Sekiranya lebih ramai rakyat Kedah mengusahakan harumanis ini, mungkin dalam tempoh dua, tiga tahun nanti kita mampu menampung permintaan domestik dan antarabangsa," katanya. - BERNAMA