Petani dan pesawah gesa subsidi harga padi naik
Aizat Sharif
Oktober 30, 2013 16:57 MYT
Oktober 30, 2013 16:57 MYT
Petani dan pesawah padi di kawasan Sungai Limau Dalam mahukan kerajaan membantu mereka dalam menaikan subsidi harga padi agar bebanan kos hidup mereka dapat dikurangkan.
Tinjauan Astro AWANI di sekitar kawasan penanaman padi di Kampung Pulau Tembun disini mendapati seorang pesawah padi, Hashim Kadir,70, berkata bantuan seperti insentif kepada petani dan pesawah sangat diperlukan oleh mereka.
"Semua pengusahaan bendang yang diusahakan di sini kebanyakannya disewa. Ada antaranya ada diusahakan sebanyak satu relung dan dua relung jadi kita minta kerajaan bantu dalam memberi insentif seperti menaikan subsidi harga padi dan selain itu, berilah baja yang benar-benar berkualiti kerana baja subsidi yang kita dapat kebanyakan tidak berkualiti," kata Hashim.
Selain itu, Zaidon Majid,44 dari Kampung Sungai Dedap berkata dengan menaikkan harga padi dapat membantu serba sedikit kos hidupnya yang sering berulang-alik sejauh 3km dari rumahnya ke bendang tersebut.
"Saya telah mewarisi mengusahakan tanah bendang ini turun temurun dari arwah bapanya jadi banyak kos kenaikan yang sudah rasakan dalam mengusahakan bendang ini dan apabila kenaikan subsidi harga padi ini terlaksana, beban saya sekeluarga akan berkuranganlah sedikit," katanya.
Ghazali Salleh, 68 dari Felda Bukit Raya selain dari menaikan subsidi harga padi, kerajaan juga diminta peka dengan permasalahan petani dan pesawah yang lain seperti tanah bendang yang jerlus dan juga masalah padi angin.
"Masalah ini juga membelenggu kami dan harapnya kerajaan dapat membela kami seadanya agar tidak mengganggu kami dalam mengusahakan bendang," katanya.
Sebelum itu, Pesuruhjaya PAS, Datuk Mahfuz Omar dan calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Limau, Mohd Azam Abd Samat telah bersama-sama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menabur benih padi di kawasan bendang dalam Majlis Turun Bendang dan Doa Awal Musim Padi yang berlangsung di Kampung Pulau Tembun, Sungai Limau Dalam di sini pada pagi ini.
Dalam sidang media selepas itu, Mahfuz yang juga selaku Pengarah Jawatankuasa Induk PAS bagi PRK DUN Sungai Limau menggesa kerajaan menaikkan subsidi harga padi demi membantu petani dan pesawah di negara ini.
"Ini adalah rungutan dan permintaan petani-petani dalam negara kita dan kita hendak minta subsidi harga padi ini dapat dinaikkan kepada 50 peratus dari RM248.10 satu tan bersamaan 25 sen sekilo kepada RM372.10 satu tan yang juga bersamaan 35 sen sekilo. Harga gula pun sudah dinaikkan 34 sen," kata Mahfuz kepada pemberita selepas majlis tersebut.
Menurutnya, subsidi harga padi yang diminta itu sebenarnya masih rendah berbanding kos sara hidup petani yang begitu tinggi.
"Dengan kos mengusahakan bendang, kos upah penggunaan jentera, upah sembur racun, upah tabur baja, upah menabur benih padi,"
Beliau menambah, kali terakhir pengumuman kenaikan subsidi harga padi ini diumumkan pada 23 tahun yang lalu oleh Menteri Pertanian ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Selain itu, harga lantai padi sekarang ini adalah RM750 satu tan dan kita mahukan ianya dinaikan kepada RM1,150 satu tan jadi ini akan memberi keuntungan kepada petani kerana kilang tidak boleh membeli padi dengan harga yang kurang daripada harga lantai yang ditetapkan," katanya lagi.
Selain dari itu, subsidi racun dan baja pertanian yang diberikan juga perlukan pembaikan kerana ianya sangat tidak memuaskan dan tiada kualiti.