"Petaling Street" sekali lagi digempur, 34 pendatang tanpa izin ditahan

Bernama
Januari 10, 2025 22:51 MYT
Wan Mohammed Saupee berkata, sebanyak 77 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu, 34 orang ditahan antaranya disebabkan tiada dokumen ataupun tidak mempunyai pas imigresen yang sah. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Jalan Petaling di sini, yang menjadi antara lokasi panas penjualan barangan tiruan melibatkan warga asing, sekali lagi digempur oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menerusi operasi "KL Strike Force", petang tadi.
Pengarah JIM Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata dalam operasi lebih sejam bermula 6 petang yang disertai 55 pegawai serta anggota jabatan itu, sebanyak 77 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu, 34 orang ditahan antaranya disebabkan tiada dokumen ataupun tidak mempunyai pas imigresen yang sah.
Beliau berkata kesemua lelaki yang ditahan itu terdiri daripada 26 warga Bangladesh, Myanmar (empat), Pakistan (dua) dan masing-masing seorang dari Mauritius dan Nepal, berumur dalam lingkungan 22 hingga 55 tahun.
"Kesalahan yang paling banyak dapat kita kesan ialah menyalahgunakan pas. Mereka mempunyai pas lawatan kerja sementara dan permit kerja yang sah, tetapi tidak berada di lokasi ataupun tidak bersama majikan yang sebenar," katanya dalam sidang media di lokasi serbuan hari ini.
Wan Mohammed Saupee berkata pihaknya mendapati kebanyakan daripada mereka yang menyalahgunakan pas ini ialah pemegang pas pembinaan, pas sektor pencucian serta pembersihan dan beberapa sektor lain.
Beliau berkata perbuatan itu merupakan kesalahan yang jelas di bawah Undang-Undang Imigresen dan Akta Imigresen serta Peraturan Imigresen.
Dalam operasi yang sama, Wan Mohammed Saupee berkata pihaknya turut melakukan pemeriksaan terhadap premis yang mengupah warga asing berkenaan dan empat pemilik premis warga tempatan telah dikenakan saman serta dikehendaki untuk hadir ke Pejabat Imigresen Kuala Lumpur bagi siasatan lanjut.
"Sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 56 1(d) Akta Imigresen kerana kesalahan melindungi pendatang tanpa izin ataupun Seksyen 55(b) kerana menggajikan pendatang tanpa izin," katanya.
Beliau difahamkan oleh penjaja warga tempatan bahawa kehadiran penjaja asing menjejaskan perniagaan mereka dan menimbulkan persaingan perniagaan yang tidak sihat.
Sebelum ini, tular sebuah video berdurasi empat minit 29 saat menerusi TikTok milik '@clean_malaysia_movement' memaparkan pendatang tanpa izin yang berlagak seperti "tauke" di kebanyakan kedai penjaja di Jalan Petaling.
Wan Mohammed Saupee berkata dalam usaha menjaga keindahan dan identiti kawasan pelancong di ibu negara bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, JIM komited untuk terus melaksanakan penguatkuasaan di kawasan yang sering menjadi tumpuan seperti di Bukit Bintang, Masjid India dan Jalan Petaling sekurang-kurangnya sebulan sekali.
-- BERNAMA
#Akta Imigresen #TikTok #warga asing #Jalan Petaling
;