Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis negeri dan daerah diseru perkasa peraturan 3C - KPN

Bernama
Februari 2, 2024 04:55 MYT
Menurut Razarudin, pengurusan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bertanggungjawab untuk menyelia pegawai dan anggota polis dari semua sudut. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Semua Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah diminta untuk memperkasakan Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata merujuk kepada Peraturan 3C, pengurusan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bertanggungjawab untuk menyelia pegawai dan anggota polis dari semua sudut.
"Masyarakat melihat perilaku polis dengan telefon bimbit malah kamera papan pemuka (dashcam) kereta depan dan belakang pun ada (memerhati jika polis terlibat salah laku).
"Selain itu, mereka (masyarakat) turut melihat logo tangan bersalaman, logo amalan antirasuah pada uniform sama ada ia kena sebati dengan amalan polis atau sebaliknya (ada logo tapi terlibat salah laku).
"Satu dua kes (salah laku polis) yang berlaku telah menyusahkan masyarakat (memberi imej buruk polis jika ada anggota polis terlibat salah laku)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa memberikan Amanat Ketua Polis Negara sempena perjumpaan khas bersama kepimpinan PDRM dan Ketua Polis Daerah Semenanjung Malaysia di Maktab PDRM Cheras, di sini, malam tadi.
Razarudin berkata polis yang terlibat dalam amalan rasuah tidak sepatutnya berada dalam perkhidmatan PDRM.
Beliau menyeru Ketua Polis Daerah sekiranya ada berlaku masalah disiplin atau salah laku anggota diminta melapor kepada Ketua Polis Negeri dengan segera.
"Saya juga minta Ketua Polis Negeri segera lapor kepada saya (salah laku pegawai dan anggota polis)," katanya.
-- BERNAMA
#Ketua Polis Negara #Razarudin Husain #Peraturan 3C #Polis Diraja Malaysia #PDRM