Pestabola Merdeka 2023: Penyokong diingatkan tidak bawa bahan terlarang menonton final esok

Bernama
Oktober 16, 2023 21:31 MYT
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin dalam sebuah sidang media di Ibu Pejabat Daerah Cheras hari ini mengenai rampasan minuman keras. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Penyokong bola sepak yang hadir ke final Pestabola Merdeka 2023 antara Malaysia dan Tajikistan di Stadium Nasional Bukit Jalil esok diingatkan tidak membawa masuk sebarang bahan terlarang termasuk bendera negara lain yang tidak berkaitan dengan perlawanan itu.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata bahan terlarang seperti mercun, bunga api, suar, topi keledar, penunjuk laser, mancis, pemetik api, objek tajam, senjata, minuman keras, payung dan tongkat dilarang dibawa masuk ke dalam stadium.
"Dijangka seramai 45,000 orang penyokong akan hadir bagi menyaksikan perlawanan tersebut di Stadium Bukit Jalil di sini dan semua pintu masuk stadium akan dibuka pada 6 petang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu Zam Halim juga menasihatkan peminat bola sepak yang hadir untuk menggunakan pengangkutan awam untuk ke stadium selain bersabar, berhemah serta bertolak-ansur jika memandu kenderaan.
Katanya orang ramai yang tidak menuju ke stadium juga dinasihatkan untuk mengelak melalui jalan di sekitar stadium berkenaan bagi mengurangkan kesesakan.
"Orang ramai diingatkan supaya menjaga tatasusila serta tidak melakukan provokasi melampau sehingga mencetuskan kekacauan sama ada semasa perlawanan mahu pun selepas perlawanan itu," katanya.
Tajikistan mendapat bai ke final selepas penarikan Palestin pada saat akhir Isnin lepas disebabkan keadaan tegang di sana.
Skuad Harimau Malaya layak ke final selepas membenam India 4-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat lepas.
-- BERNAMA
#Pestabola Merdeka 2023 #penyokong bola sepak #final #Polis Daerah Cheras
;