Pesta Pulau Pinang, tarikan percutian keluarga setiap tahun

Astro Awani
Disember 18, 2018 06:35 MYT
Hiasan lampu berwarna-warni menarik ribuan para pengunjung, baik dari luar mahu pun tempatan, ke Pesta Pulau Pinang sepanjang sebulan sempena cuti persekolahan ini. --fotoBERNAMA
Tidak lengkap rasanya jika bercuti ke Pulau Pinang tanpa mengunjungi Pesta Pulau Pinang yang kini sedang berlangsung penuh meriah.
Acara yang tercatat dalam kalendar negeri Pulau Pinang itu saban tahun akan menyajikan pelbagai pengisian menarik untuk para pengunjungnya.
Kini setelah 52 tahun penganjurannya, Pesta Pulau Pinang masih tetap mendapat sambutan hangat dalam kalangan pengunjung dari dalam dan luar negara yang menjejak kaki ke Pulau Mutiara itu.
Pengurus Kanan Pesta Pulau Pinang, Ahmad Shukri Jamaluddin berkata, penganjuran Pesta Pulau Pinang kali ini adalah berkonsepkan kekeluargaan.
Katanya, konsep tersebut membolehkan orang ramai mempunyai lebih banyak masa untuk bersantai bersama keluarga melalui pelbagai pengisian yang disediakan.
Menurutnya dalam satu kenyataan, tarikan pesta itu kali ini termasuk pesta buku, pertunjukan kucing, pameran flora dan fauna, pameran kereta, serta hiburan dari artis-artis tempatan.
Tahun ini, pihak penganjur pesta juga menambahbaik pencahayaan dengan mewujudkan konsep Taman Bunga LED di samping menambahbaik pencahayaan berkonsep flora dan fauna di Taman Mini Pesta.
Penambahbaikan yang dilakukan pengurusan pesta saban tahun itu secara tidak langsung memberi kepuasan kepada para pengunjungnya.
Salah seorang pengunjung, Syed Mohamad Shamsudin berkata, dia datang bersama keluarga dari Kuala Lumpur untuk melihat apa yang menarik yang ada pada pesta ini.
"Banyak yang menarik perhatian. Contohnya, lampu-lampu dan semua yang lain. Dapat juga saya menghabiskan masa bersama keluarga di sini.
"Barang-barang dijual murah dan berkualiti. Boleh dapat banyak diskaun. Ada banyak pilihan di sini. Jemputlah, sesiapa yang ingin berkunjung, silalah datang," katanya.
Seorang lagi yang ditemui, M. Umaashri dari Pulau Pinang berkata: "Pesta kali ini sangat bagus. Ada banyak penambahbaikan, terutama dari segi permainan. Barangannya juga murah."
Sementara itu, pengunjung dari Kedah, Mohd Syukri Ismail, turut gembira dengan harga barangan yang murah di pesta itu serta pelbagai tarikan lain yang membawa keriangan kepadanya dan keluarga.
"Seronok. Kami anak-beranak datang sini, ambil peluang cuti sekolah. Nampak menarik, dengan lampu dan sebagainya, macam i-City pun ada," katanya.
Terdapat kira-kira 150 peniaga yang menjual pelbagai barangan, antaranya produk kesihatan, kosmetik, kraftangan, pakaian dan hiasan dalaman.
Ia turut dimeriahkan dengan penjualan pelbagai jenis makanan berkonsepkan food truck.
Pesta yang berlangsung sejak 24 November lalu bakal melabuhkan tirainya pada 31 Disember ini.
#barangan murah #cuti sekolah #keluarga #konsep kekeluargaan #lampu #pengisian menarik #pesta pulau pinang
;