Pesta Ponggal: Itu keputusan KPM, JAKIM hanya beri pandangan
Afiezy Azaman
Januari 15, 2020 12:52 MYT
Januari 15, 2020 12:52 MYT
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hanya memberikan pandangan mengenai garis panduan kepada warga pendidik Muslim yang terlibat dalam perayaan Pesta Ponggal.
Unit Komunikasi Korporat JAKIM dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, pandangan yang dikeluarkan adalah susulan daripada permohonan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai garis panduan kepada warga pendidik Muslim.
“JAKIM merujuk isu penglibatan orang Islam khususnya murid dan guru muslim di sekolah-sekolah dalam Pesta Ponggal sepertimana surat pekeliling yang diedarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 13 Januari 2020.
“Keputusan mengenai perkara tersebut adalah di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan, JAKIM hanya memberikan pandangan dari sudut penglibatan orang Islam dan sama sekali tidak menghalang sambutan tersebut dilaksanakan.
“Malah Panel Pakar Syariah JAKIM juga berpandangan adalah harus untuk orang Islam mengucapkan selamat kepada rakan dan jiran yang menyambut perayaan tersebut tanpa niat mengiktiraf agama mereka serta umat Islam tidak boleh memaki dan mencaci serta menghina tuhan-tuhan agama mereka,” jelas kenyataan itu.
Menjadi bualan di laman sosial sejak semalam tentang satu pekeliling KPM berkaitan pengharaman menyertai sambutan Pesta Ponggal bagi umat Islam.
Bagaimanapun, jika terpaksa orang Islam boleh hadir dengan syarat tidak terlibat dengan upacara keagamaan dengan syarat:
* Tidak memakai pakaian khas yang merujuk kepada perlambangan agama seperti pakaian sami Hindu.
* Tidak memakai barangan yang memiliki simbol khas agama lain seperti rantai dan kalungan bunga serta membuat tanda keagamaan di dahi.
* Tidak terlibat dengan upacara dalam apa jua bentuk dan keadaan
* Tidak masuk rumah ibadat ketika upacara agama sedang berlangsung.
* Tidak memaki, mencaci serta menghina tuhan agama Hindu.
* Harus mengucapkan selamat kepada rakan dan jiran tanpa niat membelakangkan agama Islam.
Surat pekeliling KPM itu turut menyatakan ia merupakan keputusan mesyuarat panel Pakar Syariah (PPS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 8 dan 9 April tahun lalu.
Pekeliling itu turut menggariskan beberapa syarat yang digariskan oleh JAKIM seandaiya orang Muslim hadir Pesta Pongal.
#garis panduan
#guru
#Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
#JAKIM
#Kementerian Pendidikan Malaysia
#KPM
#Malaysia Baharu
#murid
#Muslim
#Panel Pakar Syariah JAKIM
#Pesta Ponggal
#warga pendidik