Pesta Pantai Tanjung Bidara dijadikan acara tahunan

Bernama
September 15, 2024 07:15 MYT
Ab Rauf berkata sambutan Pesta Pantai Tanjung Bidara memperhebat dan menghidupkan kembali kemeriahan di Tanjung Bidara di samping mempromosi kawasan pelancongan luar bandar sempena TMM2024. - Foto BERNAMA
ALOR GAJAH: Pesta Pantai Tanjung Bidara akan dijadikan acara tahunan sebagai antara program memeriahkan sambutan Hari Malaysia di Melaka.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata Pesta Pantai Tanjung Bidara secara tahunan itu akan dilaksanakan bermula tahun depan dengan kerajaan negeri menetapkan tarikh sambutan pada 13 hingga 15 September.
"Sambutan dan aktiviti sebegini secara tidak langsung memperhebat dan menghidupkan kembali kemeriahan di Tanjung Bidara di samping mempromosi kawasan pelancongan luar bandar sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
"Untuk itu perubahan serta pembangunan baharu akan dilaksanakan di pantai ini dan kita akan kemukakan kepada kerajaan Persekutuan untuk persetujuan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Pantai Tanjung Bidara 2024 di sini semalam yang turut dihadiri lebih 20,000 pengunjung dengan pelbagai aktiviti diadakan sepanjang hari.
Beliau berkata perancangan itu juga bakal memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat terutama peniaga kecil dan pengusaha inap desa.
"Ia juga akan menjadi sebahagian daripada persiapan bagi World Day Tourism UNESCO dengan seramai 151 negara yang diwakili menteri pelancongan dan warisan akan berkampung di Melaka selaku tuan rumah," katanya.
Dalam pada itu, Ab Rauf berkata kerajaan negeri akan mengadakan pertandingan Creative Content TikTok 2024 sempena TMM2024 bermula Oktober hingga hujung tahun ini.
"Ramai yang saya lihat suka berswafoto serta ambil video dan ini peluang mereka untuk memenangi RM5,000. Jadi berkaryalah di platform itu dengan mencipta video menarik.
"Pelbagai kategori akan ditawarkan untuk membolehkan sesiapa sahaja menyertai pertandingan ini dan kandungan video itu mestilah satu bahan baharu yang mampu menarik kehadiran pelancong ke Melaka," katanya.
-- BERNAMA
#TMM 2024 #Pesta Pantai Tanjung Bidara #Ab Rauf Yusoh #pelancongan
;