Pesta Magahau berpotensi diangkat sebagai produk pelancongan Sabah - Jafry
Eleanor Michelle Patrick
Disember 13, 2021 11:56 MYT
Disember 13, 2021 11:56 MYT
KOTA KINABALU: Sambutan Pesta Magahau berpotensi untuk diangkat sebagai produk pelancongan dan kebudayaan negeri Sabah yang utama.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, selain kisah sejarah sambutannya yang menarik, gerak tarinya juga mampu memukau mereka yang menyaksikannya.
Katanya, ia terbukti dengan kejayaan Persatuan Sabah Momogun Rungus Association (SAMORA) yang telah membawanya ke pentas dunia.
"Selain kisah sejarah sambutan Magahau yang mampu menarik perhatian pelancong, pergerakan tarian ini juga bersifat interaktif dan pastinya mampu membuatkan mereka menari bersama.
"Apatah lagi dengan kejayaan SAMORA membuat persembahan tarian tradisi etnik Rungus iaitu Mongigol Sumundai yang suatu ketika dahulu pernah memukau penonton di ITB Berlin, Jerman," katanya dalam ucapan perasmian Pesta Magahau 2021 di Sabah International Convention Centre (SICC), pada Ahad.
Jafry berkata, inilah masanya untuk memperkenalkan produk-produk etnik Rungus seperti kraftangan, pakaian tradisi, produk makanan, hasil tani dan sebagainya.
"Saya amat berharap usaha persatuan ini diteruskan secara konsisten agar budaya ini tidak pupus ditelan zaman dan dapat diwariskan kepada generasi muda agar mereka dapat membina jati diri demi kelangsungan adat dan tradisi etnik Rungus.
"Pesta seumpama ini juga merupakan platform yang baik bagi pihak kerajaan untuk mencipta kesan limpahan ekonomi secara langsung kepada masyarakat tempatan," katanya.
Tambahnya, kementeriannya akan sentiasa memberikan kerjasama padu dalam memastikan semua acara kebudayaan di negeri ini dapat dilaksanakan.
Ini sekali gus dapat memacu lebih banyak kejayaan dalam memartabatkan keunikan dan keindahan khazanah budaya untuk kita dan generasi akan datang.
Turut hadir ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai dan Presiden SAMORA, Datuk Jelani Hamdan.