Pesta Kaamatan: Tempahan dan sewa pakaian tradisi jadi tumpuan

Mirlen Axtius
Mei 30, 2024 22:05 MYT
Levinis Midin mengakui tidak menang tangan dalam menyiapkan banyak tempahan baju tradisi daripada pelanggannya. - Gambar Astro AWANI
KOTA KINABALU: Setiap kali menjelang perayaan Pesta Kaamatan, para peniaga pakaian tradisi sentiasa menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli selain menyewa baju tradisi untuk digunakan pada majlis-majlis yang diadakan.
Antara pakaian tradisi yang popular dan juga mendapat banyak tempahan daripada Moing Butik di Kota Kinabalu yang menyediakan perkhidmatan sewaan baju tradisi termasuk baju tradisi Sinuangga Penampang, Bakat Berecu Sipitang dan baju tradisi Dusun Gana Keningau.
Pemilik Moing Butik, Levinis Midin, 58 tahun ketika ditemui mengakui tidak menang tangan dalam menyiapkan banyak tempahan baju tradisi daripada pelanggannya.
"Menjelang Kaamatan ini memang permulaan bulan lima saya sangat teruja kerana akan banyak pelanggan yang datang untuk menyewa baju sampai saya tidak pernah tutup kedai sehinggalah sambutan Pesta Kaamatan itu tiba," katanya ketika ditemui.
Bagi Levinis, tempahan yang diterima adalah untuk segenap lapisan masyarakat tidak mengira usia dan dia berbangga apabila ramai pelanggan menempah bajunya termasuk untuk anak kecil mereka sebagai pelengkap kepada perayaan Pesta Kaamatan.
"Kadang-kadang baju yang ada ini tidak mencukupi dan saya perlu segera mencuci serta menyiapkan baju yang sudah dikembalikan penyewa untuk disewakan kepada orang lain.
"Sampai sekarang pelanggan tidak berhenti masuk kedai saya bertanya mengenai baju tradisi untuk mereka gunakan pada pelbagai acara seperti Unduk Ngadau kanak-kanak dan sebagainya," katanya.
Kongsinya lagi, ini adalah sumbangan kecil yang boleh diberikan untuk mengekalkan tradisi dan adat Pesta Kaamatan sekali gus memastikan generasi akan datang dapat meneruskan kemeriahannya.
#Pesta Kaamatan #unduk ngadau #anak kecil #banyak tempahan
;