Pesta cahaya, sambutan sarat dengan tradisi
Arfa Yunus
November 12, 2012 15:11 MYT
November 12, 2012 15:11 MYT
Deepavali, atau lebih dikenali sebagai pesta cahaya adalah antara perayaan utama yang disambut oleh masyarakat India yang beragama Hindu dan Sikh di Malaysia.
Menurut mitos, perayaan Deepavali bermula dengan kisah Dewa Krishna membunuh roh jahat Narakasura dimana selepas kejadian tersebut, seluruh penduduk kampung telah meraikan kemenangan “kebaikan menewaskan kejahatan” dengan menyalakan lampu serta berpesta.
Satu lagi mitos yang lebih terkenal di benua kecil India adalah berdasarkan epik Ramayana di mana Seorang putera raja Rama berjaya membunuh pengaruh jahat Ravana dengan bantuan adiknya Lakshman dan dewa Hanuman.
Kemudian, setelah 14 tahun, mereka bersama-sama isterinya Sita pulang ke Ayodhya dimana kepulangan mereka disambut oleh para penduduk dengan menyalakan lampu dan berpesta.
Walaupun terdapat bermacam-macam versi mitos mengaitkan kewujudan perayaan Deepavali, apa yang penting bagi masyarakat India adalah simbol kebaikan atau cahaya menumpaskan kejahatan serta kegelapan yang menjadi pegangan.
Secara tradisinya Perayaan Deepavali biasanya dimulakan dengan upacara mandi minyak sebelum matahari terbit. Adat ini timbul daripada satu kepercayaan yang menyamakan upacara ini seperti upacara mandi suci di Sungai Gangga.
Seorang kakitangan kerajaan, M. Subramaniam, 51 turut mengamalkan upacara yang sama.
“Awal pagi semasa Deepavali, kami sekeluarga mengamalkan upacara mandi minyak dan seterusnya diikuti dengan upacara sembahyang di kuil,” kata Subramaniam.
Subramaniam menambah: “Kebaikan upacara mandi minyak bagaikan mandi di Sungai Gangga yang suci bertujuan membersihkan diri daripada segala kejahatan dan sifat dengki.”
Adat ini berbeza pula dengan penduduk di Gujerat dimana perayaan Deepavali disambut selama beberapa hari.
Sneha Kotari, 47, seorang guru berkata: “Perayaan Deepavali bagi kami bermula pada hari Ahad dimana kami mula menghias rumah dengan ‘Rangoli’ iaitu satu lambang Dewi Kekayaan.”
“Hari kedua, kami menyediakan makanan dan air untuk Dewi Kali atau Dewi Kekuatan di sekitar rumah kerana ini boleh membuang roh-roh jahat. Hari ketiga adalah Hari Deepavali dimana kami akan mengadakan upacara ‘Saraswathy Pooja’ untuk bersiap sedia dengan kehadiran tahun baru keesokan hari,” tambah Sneha.
Selain daripada upacara-upacara penuh adat yang dipraktikkan oleh masyarakat India, Deepavali juga merupakan hari untuk mereka bersuka ria. Masyarakat India akan memulakan hari mereka dengan mengenakan pakaian baru serta menjamah beberapa jenis manisan.
Semasa ditemuramah oleh wartawan Astro Awani, rata-rata berkongsi idea masakan atau menu yang bakal mereka sediakan pada hari Deepavali.
Suri rumah, Parameswari Krishnasamy, 45 berkata, “Setiap tahun kami akan mencuba resipi-resipi baru dan tahun ini, menu istimewa kami adalah Nasi Pudina serta Nasi Briyani.”
Bagi Mala Govindasamy dan keluarga pula, menu mereka bagi setiap perayaan Deepavali adalah apam Idli, kari ayam serta kari kambing.
“Idli serta kari ayam dan kambing adalah menu tetap di rumah saya kerana tetamu yang hadir pasti akan menjilat jari selepas menjamah resipi istimewa saya,” kata Mala, tersenyum.
Idli, tosai, capati, kari ayam, dhal, paneer dan pelbagai jenis manisan merupakan antara menu tetap bagi masyarakat India yang meraikan Deepavali.
Tetapi, tidak semua masyarakat India memilih menu-menu diatas untuk perayaan Deepavali.
“Setiap tahun, menu istimewa di rumah saya adalah Rendang Ayam serta Sambal Udang,” kata Kalarani Appusamy, seorang suri rumah yang tinggal di Kuala Lumpur.
“Menu kami agak berbeza jika dibandingkan dengan rumah-rumah lain, tetapi inilah yang menjadikan makanan di rumah kami lebih unik,” tambah Kalarani.
Makanan, pelita, manisan serta pakaian warna-warni adalah simbol perayaan deepavali. Kehadiran elemen-elemen inilah yang dapat memeriahkan Deepavali.
Kehadiran perayaan ini bukan sahaja membuka ruang bagi sanak-saudara merapatkan hubungan, malah kunjungan rakan daripada bangsa dan agama lain juga dialu-alukan.
Walau dimana juga perayaan Deepavali disambut, ia membawa bersama kegembiraan, keseronokan, nilai positif dan kesejahteraan yang berpanjangan.
Selamat Menyambut Hari Deepavali!