Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur kembali lagi
Cynthia Ng
April 25, 2014 16:51 MYT
April 25, 2014 16:51 MYT
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang dikenali sebagai destinasi pesta buku yang cukup ternama, muncul lagi.
PBAKL kali ke-33 ini berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula dari 24 April hingga 4 Mei, 2014.
Pesta Buku terbesar di Asia Tenggara ini juga akan mempamerkan lebih daripada sejuta judul buku dan bahan bacaan untuk para pengunjung.
Penganjur bersama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia, mensasarkan dua juta pelawat tahun ini.
“Tahun lepas kami menerima 1.8 juta pengunjung. Kami menganggarkan lebih 2 juta pengunjung kali ini,” menurut Pengarah Urus Setia Tetap MBKN Abdul Wahab Ibrahim.
“Kami mendapati industri buku negara ini dapat menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara tetapi secara asasnya, kami ingin membina budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia.
“Salah satu indikator sebuah negara maju ialah jumlah buku yang dibaca oleh rakyatnya setiap tahun. Kalau dilihat negara-negara Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun, jumlahnya ialah 16 judul. Jadi untuk kita mencapai status negara maju dalam konteks buku, kita mensasarkan sebanyak 20 judul buku setiap tahun untuk setiap warga Malaysia menjelang tahun 2020,” beliau berkata.
“Bila ada pembaca, nanti ada penulis. Bila ada penulis maka ada buku-bukunya. Secara langsung, industri buku akan berkembang,” Abdul Wahab menambah.
Sebanyak 241 syarikat tempatan dan antarabangsa terlibat dalam pameran tahun ini. Antaranya, syarikat dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia , Arab Saudi dan Syria.
Bahan bacaan yang ditawarkan sesuai untuk semua peringkat umur dan lapisan masyarakat, bermula dari pra-sekolah hingga ke universiti dan banyak lagi.
Bukan sekadar buku, pelbagai aktiviti lain juga disediakan sepanjang pesta sebelas hari ini termasuk pelancaran buku ‘Jatuh ke Laut Menjadi Pulau’ oleh Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh (26 April ), Antologi puisi MH370 (2 Mei) serta penampilan khas chef selebriti, Chef Wan( 3 Mei ).
PBAKL 2014 telah diperluaskan kali ini kerana penyertaan yang menggalakkan tahun lepas.
Justeru, penganjur membuka kawasan pameran di Aras 4, PWTC.
Mulai tahun ini juga, penganjur memperkenalkan konsep baca dan santai ‘Rehat dan Baca’ di mana pengunjung boleh meminjam buku yang telah disediakan dan bersantai sambil membaca.
Antara tarikan yang lain ialah Dunia Novel dan Komik yang memaparkan novel-novel grafik yang terkenal.
Pengunjung juga akan berpeluang untuk bertemu kartunis tempatan popular GEMPAK STARZ di gerai mereka di Aras 4.
PBAKL 2014 dibuka kepada orang ramai secara percuma. Waktu operasi bermula dari 9 pagi hingga 6 petang.