Pesta arak di sebuah pusat membeli-belah boleh diteruskan - Datuk Bandar KL

Sinar Harian
Oktober 11, 2018 13:11 MYT
Nor Hisham mengesahkan DBKL sehingga kini tidak menerima sebarang permohonan untuk mengadakan pesta arak. - Foto Sinar Harian
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak menghalang pesta arak 'Oktoberfest 2018' yang berlangsung di sebuah pusat membeli-belah hari ini selagi ia tidak melanggar undang-undang.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, ia mengambil kira pesta di kompleks membeli-belah itu dijalankan secara tertutup dan tidak dilakukan di kawasan terbuka.
“Oktoberfest itu kalau dalam premis tidak ada keluar, tidak ada mabuk kacau orang dalam premis tidak apa sebab mereka memang jual arak, alkohol di dalam tu.
“Kalau minum dalam premis tu, minumlah tapi kalau letak iklan besar-besar itu tidak boleh, itu kita akan turunkan bagaimana kita telah buat terhadap iklan yang dipasang di Sungai Besi kita turunkan serta merta,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Komuniti Strata Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2018, di sini, hari ini.
Beliau dalam masa sama mengesahkan DBKL sehingga kini tidak menerima sebarang permohonan untuk mengadakan pesta arak.
Namun ujarnya, pemantauan akan tetap dilaksanakan terhadap penganjuran pesta arak di pusat membeli-belah terbabit untuk memastikan ia tidak dibawa keluar.
“Memang setakat ini saya tidak menerima sebarang permohonan. Kita pergi (buat tinjauan) sebab ia di dalam. Tapi kita tetap akan pantau, jika dibawa keluar kita sita,”katanya.
Terdahulu pada Selasa lalu, Menteri Wilayah Khalid Samad berkata, pesta arak 'Oktorberfest 2018' boleh dianjurkan jika pihak penganjur membuat permohonan bagi mendapatkan permit dan mematuhi kesemua garis panduan yang ditetapkan DBKL.
Beliau berkata, antara garis panduan yang perlu dipatuhi penganjur ialah orang Islam tidak dibenarkan terlibat dan tidak dijalankan di tempat terbuka.
#arak #Datuk Bandar #DBKL #Khalid Samad #Kuala Lumpur #Nor Hisham Ahmad Dahlan #Octoberfest #pesta arak #undang-undang
;