Pesta Angin Timur Perlis 2024 tampil 11 aktiviti baharu

Bernama
Februari 16, 2024 05:15 MYT
Mohd Shukri berkata, 128 agensi terlibat dalam menjayakan PAT 2024, dan beliau menjangka lebih 350,000 orang akan mengunjungi pesta itu nanti memandangkan ia diadakan semasa cuti persekolahan. - Foto Facebook Mohd Shukri Ramli
KANGAR: Pesta Angin Timur Perlis 2024 (PAT 2024) yang dijadualkan berlangsung di Kampung Lat Seribu, Tambun Tulang, Arau selama tiga hari bermula 1 Mac ini bakal menampilkan 11 aktiviti baharu untuk tarikan pengunjung.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, 33 aktiviti disediakan untuk pengunjung pesta itu nanti, dan antara yang terbaru ialah penerbangan belon udara panas, jerami art tunnel, pertandingan paramotor, pertunjukkan payung terjun, motorised hang glider dan pertandingan kayak.
"Tahun ini kita bawakan kelainan sempena Tahun Melawat Perlis 2024-2025, pelbagai program menarik telah disusun untuk semua lapisan masyarakat," katanya pada sidang media sempena PAT 2024 di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini, pada Jumaat.
Turut serta pada sidang media itu Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Mohd Yusri Mohd Yusoff dan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis, Norazlin Nordin.
Mohd Shukri berkata, 128 agensi terlibat dalam menjayakan PAT 2024, dan beliau menjangka lebih 350,000 orang akan mengunjungi pesta itu nanti memandangkan ia diadakan semasa cuti persekolahan.
"MOTAC mengalu-alukan kerjasama antara kementerian dan kerajaan negeri, setiap edisi ada penambahbaikan dan ia bukan sahaja dapat memajukan pelancongan, malah dapat memajukan komuniti setempat di Perlis dan negeri sekeliling," katanya. - BERNAMA
#MOTAC #Pesta Angin Timur Perlis 2024 #aktiviti baharu #Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli
;