Pesta Air Kuala Perlis medium rapatkan hubungan masyarakat
Bernama
September 14, 2024 10:15 MYT
September 14, 2024 10:15 MYT
KUALA PERLIS: Pesta Air Kuala Perlis antara acara tradisi di Perlis sejak tahun 50-an, kini kembali selepas kali terakhir dianjurkan pada 2019 kerana pandemik COVID-19, menjadi antara medium merapatkan hubungan masyarakat.
Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata selain itu, penganjuran pesta air itu juga secara tidak langsung memupuk kerjasama erat melibatkan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), persatuan nelayan, komuniti dan masyarakat kampung serta wakil jabatan mahupun agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.
"Hasilnya kita sama-sama dapat melihat sendiri kemeriahan sambutan pada majlis (perasmian) yang penuh gilang-gemilang," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Pesta Air Kuala Perlis 2024 yang disempurnakan Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, di sini malam tadi.
Turut berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Che Murad Sayang berkata penganjuran pesta air itu juga dapat memberikan kesedaran betapa pentingnya mengekalkan nilai warisan yang diperturunkan daripada generasi ke generasi.
Beliau berkata kerajaan negeri melihat pesta air itu wajar dihidupkan semula kerana ia antara produk pelancongan sangat diminati dan berupaya menarik ramai pelancong ke negeri Perlis, selari dengan hasrat menjayakan Tahun Melawat Perlis 2024-2025.
Pesta Air Kuala Perlis 2024 bermula 12 hingga 15 Sept, menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya pertandingan keceriaan kampung, program malam kebudayaan dan pertandingan kayuhan perahu tradisional.
-- BERNAMA