Pesisir pantai Desaru terus jadi laluan 'hotspot' pendatang asing
Bernama
Januari 15, 2020 20:05 MYT
Januari 15, 2020 20:05 MYT
Pesisir pantai Desaru di Kota Tinggi, terus menjadi laluan hotspot kepada penyeludupan pendatang asing warga Indonesia untuk masuk dan keluar dari negara ini.
Terbaharu, seramai 33 pendatang asing dari negara itu telah ditahan di kawasan terbabit kerana didapati cuba menyeludup masuk dan keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata kesemua mereka terdiri daripada 23 lelaki dan 10 wanita itu, berusia antara 20 hingga 45 tahun.
Beliau berkata tangkapan dibuat menerusi satu operasi dan serbuan yang dijalankan secara berasingan berhampiran Kompleks Rakan Muda, Desaru, bermula pukul 12.05 tengah malam tadi.
"Penahanan pertama membabitkan 12 lelaki dan dua wanita yang baharu tiba di pesisir pantai manakala tangkapan kedua membabitkan 16 orang yang ditahan di dalam belukar berhampiran pada 12.45 malam," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.
Mohd Zulfadli berkata kedua-dua penahanan itu adalah kes pertama bagi penyeludupan migran di kawasan pesisir pantai Desaru, tahun ini.
Pada tahun lepas dan 2018, seramai 242 migran telah ditahan atas kesalahan berkenaan di kawasan terbabit.
Katanya, masuk atau keluar ke Malaysia menggunakan laluan yang tidak sah adalah satu kesalahan yang boleh disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, selain di bawah Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2010.
Justeru, mana-mana warga Indonesia yang ingin masuk atau keluar dari Malaysia dinasihatkan agar menggunakan laluan yang sah (mengikut undang-undang) supaya dapat mengelakkan kejadian tidak diiingini.
"Sindiket penyeludupan manusia tidak menghargai nyawa penumpang, mereka sering membawa muatan lebih demi mengaut keuntungan.
"Malah dalam tangkapan ini, seorang migran wanita mendakwa dia telah dipukul oleh sindiket selain terdapat percubaan rogol oleh ahli sindiket," katanya.
-- BERNAMA
#Mohd Zulfadli Nayan
#pantai desaru
#pemerdagangan manusia
#pengarah zon maritim
#penyeludupan
#pesisir pantai
#Tanjung Sedili