Peserta serahan memorandum hanya dirakam keterangan, tiada tangkapan - KDN
Bernama
Februari 12, 2025 23:11 MYT
Februari 12, 2025 23:11 MYT
Peserta serahan memorandum terbabit hanya dipanggil untuk memberikan keterangan kepada polis susulan laporan prosedur keselamatan yang biasa dilakukan.
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan tangkapan melibatkan peserta serahan memorandum di Kompleks Setia Perkasa, KDN pada Isnin lepas seperti yang tular melalui media sosial.
KDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan peserta serahan memorandum terbabit hanya dipanggil untuk memberikan keterangan kepada polis susulan laporan prosedur keselamatan yang biasa dilakukan selari dengan Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298).
"Laporan polis ini ialah tatacara lazim sekiranya ada sebarang insiden yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak keselamatan untuk masuk ke premis Kompleks Setia Perkasa, KDN," menurut kenyataan itu.
Menurut KDN, pihak polis juga telah menerangkan perkara itu dengan beberapa peserta telah dipanggil untuk memberikan kenyataan berkaitan dengan laporan yang dibuat dan tiada tangkapan dilakukan.
"Pengguna media sosial dinasihatkan agar mendapatkan maklumat yang sahih daripada sumber yang tepat bagi mengelakkan sebarang spekulasi, di samping sentiasa mematuhi Akta Komunikasi dan Multimedia," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Aidi Sham Mohamed ketika dihubungi hari ini menafikan polis menahan Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) Sevan Doraisamy, seperti dilaporkan beberapa portal berita.
Beliau berkata pihaknya hanya merekod percakapan Sevan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Sevan telah diambil keterangan berhubung dakwaan beliau memasuki KDN di Putrajaya pada Isnin tanpa pas.
-- BERNAMA