Peserta RXZ Members 5.0 maut kemalangan di LPT2

Bernama
September 8, 2023 17:54 MYT
Seorang peserta program RXZ Members 5.0 maut dalam kemalangan di Kilometer 255.8 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), selepas Plaza Tol Jabor, sekitar 11.51 pagi tadi. - Foto Sinar Harian
CHUKAI: Seorang peserta program RXZ Members 5.0 maut dalam kemalangan di Kilometer 255.8 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), selepas Plaza Tol Jabor, sekitar 11.51 pagi tadi.
Muhammad Luqman Misnan, 30, yang berasal dari Telok Panglima Garang, Selangor meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Hanyan Ramlan berkata kejadian berlaku apabila mangsa yang dalam perjalanan untuk menghadiri program di Gong Badak, Kuala Nerus itu telah hilang kawalan lalu merempuh dua penunggang motosikal RXZ lain yang berhenti di bahu jalan.
Beliau berkata akibat pelanggaran itu, mangsa terseret sejauh 37.4 meter dari lokasi kejadian dan meninggal dunia sebelum dapat diselamatkan.
"Dua penunggang RXZ yang dilanggar mangsa berasal dari Felda Kemasul, Pahang dan Kuala Pilah Negeri Sembilan.
"Penunggang RXZ dari Pahang patah tangan kiri dan kaki kanan manakala seorang lagi, patah tangan kiri. Kedua-duanya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk rawatan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Hanyan berkata mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
#RXZ Members 5 0 #peserta #kemalangan #LPT2 #Muhammad Luqman Misnan
;