Peserta perhimpunan mula berhimpun di LRT Bangsar
Ridauddin Daud
Januari 22, 2022 10:57 MYT
Januari 22, 2022 10:57 MYT
KUALA LUMPUR: Menghampiri jam 11 pagi, kelihatan semakin ramai berhimpun di kawasan sekitar LRT Bangsar.
Situasi sedikit berbeza berbanding 30 minit lalu di mana kawasan sekitarnya masih lengang, hanya kelihatan petugas media dan anggota polis selain beberapa orang awam.
Tinjauan Astro AWANI juga mendapati anggota polis semakin ramai berada di lokasi.
Keadaan pada waktu ini dilihat masih tenang, tiada pergerakan besar dan ceramah atau ucapan masih belum dimulakan.
Namun siren polis sudah beberapa kali dibunyikan, difahamkan bagi mengawal keadaan.
Begitupun, keadaan di Jalan Bangsar sesak teruk akibat polis melencongkan laluan ke Jalan Ma'arof dan tidak membenarkan sebarang kenderaan daripada memasuki jalan ke LRT Bangsar.
Kenderaan Astro AWANI juga tidak dibenarkan masuk dan ramai petugas media dilihat berjalan kaki dari luar ke lokasi berkenaan.
Antara jalan yang sesak setakat jam 10 pagi tadi termasuklah Jalan Maarof, Jalan Pantai Baharu serta susur keluar Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) menuju ke Jalan Bangsar berikutan lencongan laluan berkenaan.
Setakat ini, LRT Bangsar dibanjiri pengamal media seawal jam 8 pagi tadi.
Perhimpunan #TangkapAzamBaki diadakan bagi mendesak agar proses undang-undang ke atas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRN) Tan Sri Azam Baki bermula dengan segera, serta menggesa rombakan SPRM dibuat dan seterusnya diletakkan di bawah Parlimen.