Peserta Perhimpunan Hijau tekad teruskan misi

Haider Yutim
November 26, 2012 17:00 MYT
Mereka berarak, mereka bantah dan mereka tidur semalaman di Dataran Merdeka.
Meskipun gagal ‘menakluk’, anggota kumpulan Himpunan Hijau yang membantah Pembinaan Stesen Lynas di Gebeng, Pahang, berkata perjuangan mereka tidak akan berakhir setakat itu sahaja.
V. Arumugam, 50, dari Kuantan berkata meskipun perjalanan berjalan kaki sejauh lebih 300 meter dari Kuantan ke Kuala Lumpur memenatkan, sokongan daripada orang ramai membangkitkan semangat mereka.
“Ini perjalanan kerohanian. Orang ramai yang kami temui di bandar-bandar dan kampung-kampung memberikan kami makanan, air, wang dan ramai yang ingin mengetahui mengenai misi kami.”
Arumugam berkata ramai yang terkejut apabila diberitahu tujuannya berjalan kaki jauh hingga ke Kuala Lumpur.
ARUMUGAM: Ini perjalanan kerohanian
“Saya mahu orang ramai tahu mengenai perarakan ini. Saya tidak mengharapkan mereka untuk turut serta, namun sekadar memahami sudah mencukupi,” kata beliau.
Katanya lagi, sejurus mereka selesai berarak, semuanya mengidamkan segelas teh tarik.
Buat Philip Jan dari Sarawak keletihan akibat berjalan tidak melemahkan semangat mereka untuk mengadakan bantahan.
Anak jati Baram berusia 52 tahun itu berkata dia mengambil cuti selama seminggu untuk
turut serta dalam, perarakan ini.
“Ini kali pertama saya sertai perarakan sebegini dan dapat menemui beberapa kawan baru sepanjang perjalanan”.
PHILIP: Pertama kali berjalan dari Kuantan ke Kuala Lumpur
Seorang lagi peserta Chin Hoi Lon, 55, berkata meskipun berhadapan pelbagai rintangan, dia bertekad untuk sampai ke Kuala Lumpur.
"Badan saya sakit dan kaki membengkak, namun ini tidak menghalang saya untuk sampai ke Kuala Lumpur.”
Perjalanan Chin dari Kuantan bersama yang lain bermula 13 Nov lalu dan mereka berjalan sejauh 30 km sehari.
Sementara itu Pengerusi Perhimpunan Hijau Wong Tack berkata perhimpunan semalam bukanlah “destinasi” terakhir mereka.
“Kami akan pulang dan merancang apa tindakan kami seterusnya” kata Wong.
Kumpulan itu berhasrat untuk menetap di Dataran Merdeka sehingga pukul 9 pagi ini dengan harapan pihak berkuasa akan menemui mereka.
Walau bagaimanapun, kumpulan terbabit diarahkan bersurai oleh OCPD Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad pada pukul 10.25 pagi bagi membolehkan laluan di hadapan Dataran Merdeka dibuka semula.
Kumpulan terbabit akur dan meninggalkan Dataran Merdeka 30 minit kemudiaan dan dilihat meninggalkan kawasan itu menggunakan kereta dan bas.
Semalam polis berkata kumpulan terbabit telah melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 dimana mereka tidak memaklumkan kepada pihak polis dan Dewan Bandaraya rancangan mereka.
Menurut Timbalan Ketua Polis Selangor, Tan Sri Khalid Abu Bakar, ramai daripada peserta turut membawa anak-anak mereka untuk menghadiri perhimpunan.
Mahkamah Tinggi Kuantan 14 Nov lalu telah menolak dengan kos permohonan injunksi interim oleh penduduk Kuantan ke atas lesen operasi sementara (TOL) yang diberikan kepada Lynas Advanced Material Plant (LAMP) atau Lynas.
#Dataran Merdeka #Himpunan Hijau #Kuantan #Lynas #Perhimpunan Aman
;