SHAH ALAM: Peserta baharu Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bagi ketiga-tiga kategori Platinum, Gold dan Silver tidak layak untuk memohon status penduduk tetap (PR).


Ringkasan AI
  • Program Malaysia My Second Home (MM2H) tidak membenarkan peserta baharu dari kategori Platinum, Gold, dan Silver untuk memohon status penduduk tetap (PR).
  • Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing, yakin program MM2H dapat menarik minat warga asing berpendapatan tinggi dan nomad digital untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama.
  • Syarat-syarat baharu termasuk peningkatan modal syarikat kepada RM200,000, fi lesen RM2,500 setahun, dan jaminan bank RM200,000 untuk syarikat perniagaan pengendalian MM2H telah diperkenalkan untuk meningkatkan kredibiliti dan perlindungan peserta program.


Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing berkata, bagaimanapun pihaknya yakin program MM2H mampu menarik minat bakal peserta daripada golongan sasaran khususnya individu warga negara asing berpendapatan tinggi dan nomad digital dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama.

“Kehadiran golongan ini diharap akan merancakkan lagi ekonomi tempatan terutama dalam industri pelancongan, perumahan, pendidikan, perubatan dan sebagainya sekali gus menjadikan Malaysia hab global yang mempunyai daya saing tinggi,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

MM2H diperkenalkan pada 2002 yang membenarkan warga asing membeli hartanah dan tinggal di Malaysia sebelum dibekukan sementara pada Ogos 2020 bagi memberi ruang kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan MOTAC mengkaji serta menilai semula program itu secara komprehensif.

Sejak Oktober 2021, permohonan baharu MM2H dikendalikan Jabatan Imigresen merangkumi urusan berkaitan perkhidmatan pemprosesan permohonan sedia ada dan logistik.

Mengulas lanjut, King Sing berkata, pihaknya mula memproses dan meluluskan Lesen Perniagaan Pengendalian Pelancongan MM2H dengan menggunakan syarat-syarat baharu yang telah diperkemaskan selaras perkembangan semasa.

Menurutnya, ia bertujuan meningkatkan kredibiliti dan akauntabiliti syarikat-syarikat perniagaan pengendalian MM2H berlesen serta melindungi peserta yang menyertai program tersebut dengan lebih menyeluruh.

“Antara syarat-syaratnya ialah modal berbayar syarikat dinaikkan daripada RM50,000 kepada minimum RM200,000, fi lesen ditetapkan pada RM2,500 setahun dan lokasi premis perniagaan dengan alamat yang sah.

“Selain itu, syarikat perlu menyediakan jaminan bank berjumlah RM200,000, mengadakan kontrak dan pendaftaran wakil syarikat yang terdiri daripada perniagaan atau orang persendirian di luar negara dan lain-lain.

“Butiran lanjut berhubung syarat-syarat ini akan diperjelaskan dalam Garis Panduan Permohonan Lesen Perniagaan Pengendalian Pelancongan MM2H yang boleh didapati dalam laman sesawang MOTAC,” ujarnya. - Sinar Harian