Peserta maraton rebah sebelum disahkan meninggal dunia

Ruzaini Zulkepli
April 28, 2019 18:27 MYT
Mangsa dibantu pasukan paramedik setelah rebah ketika menyertai acara maraton di Kota Kinabalu. -Astro AWANI
Seorang peserta larian Borneo International Marathon meninggal dunia selepas rebah lalu pengsan ketika mengikuti aktiviti berkenaan pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi di tepi jalan Kompleks Sukan Likas, di sini, mangsa yang dikenali sebagai Bitah Sabenting, 56, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu selepas dilaporkan rebah ketika menyertai larian sejauh 10 kilometer.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji dalam kenyataan medianya berkata mangsa dikatakan menyertai Borneo International Marathon bersama ahli keluarganya dari daerah Kota Belud sebelum insiden tersebut.
"Berdasarkan maklumat awal, mangsa dan keluarganya pergi ke acara terbabit seawal jam 4.30 pagi dengan pelepasan larian itu bermula jam 6 pagi dari pekarangan Stadium Likas.
"Kira-kira jam 7.45 pagi, ketika menghampiri penamat di stadium, mangsa dilaporkan tiba-tiba jatuh pengsan sebelum digegaskan ke HQE untuk rawatan kecemasan.
"Bagaimanapun, mangsa dilaporkan meninggal dunia pada jam 8.45 pagi oleh pegawai perubatan yang terlibat," katanya.
Menurut beliau, pemeriksaan awal terhadap tubuh mangsa tidak menemukan sebarang petunjuk berunsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian lelaki itu.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dibawa ke HQE I untuk bedah siasat.
#Bitah Sabenting #Borneo International Marathon #Habibi Majinji #peserta maraton #rebah ketika larian #Stadium Likas
;