Peserta KMM keracunan makanan: Pembekal makanan akan beri kerjasama penuh

Bernama
Oktober 7, 2019 18:50 MYT
DapurPu3 bersedia untuk mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kejadian berkenaan sekiranya siasatan mendapati insiden keracunan itu berpunca daripada mereka.
Pembekal makanan, DapurPu3 (Dapur Puteri) yang membekalkan sarapan pagi kepada peserta yang menghadiri Kongres Maruah Melayu (KMM) di Stadium Malawati, semalam memohon maaf atas insiden keracunan makanan yang dihadapi peserta kongres itu.
Permohonan maaf itu turut dizahirkan kepada pihak penganjur kongres berkenaan iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) atas apa yang berlaku.
"Kami dengan rendah hati merakamkan perasaan dukacita yang amat sangat terhadap insiden keracunan makanan yang telah berlaku.
"Pihak kami telah dan akan terus memberi bekerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kejadian itu," kata DapurPu3 dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, DapurPu3 bersedia untuk mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kejadian berkenaan sekiranya siasatan mendapati insiden keracunan itu berpunca daripada mereka, jelas kenyataan itu.
Semalam, seramai 197 peserta kongres itu disahkan mengalami keracunan makanan dan telah menerima rawatan susulan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Hospital Shah Alam, Hospital Sungai Buloh dan Pusat Kesihatan Daerah Petaling
Dalam kejadian kira-kira 11.15 pagi, Jabatan Kesihatan Selangor menerima laporan keracunan makanan melibatkan pelajar universiti yang hadir ke kongres di Stadium Malawati di sini selepas menikmati nasi lemak yang disediakan penganjur.
-- BERNAMA
#dapurpu3 #keracunan makanan #Kongres Maruah Melayu #nasi lemak #pembekal makanan #peserta program
;