Peserta Gopeng Ultra Trail dikhuatiri hilang sejak Sabtu

Astro Awani
Mac 25, 2019 14:13 MYT
Operasi mencari digerakkan untuk mencari Mohammad Ashraf. - Sumber foto JBPM
Seramai 120 orang digerakkan untuk mencari seorang peserta Gopeng Ultra Trail yang hilang sejak Sabtu lalu.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka dibahagikan kepada empat kumpulan dengan 30 orang setiap kumpulan.
Katanya, unit anjing pengesan, K9, turut digerakkan untuk mencari Mohammad Ashraf Hassan, 29 tahun, yang hilang ketika mengambil bahagian di dalam Gopeng Ultra Trail sejauh 25 kilometer yang bermula dan berakhir di Gua Tempurung.
Selain itu, beberapa agensi lain turut terlibat, antaranya, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam dan Pasukan Gerakan Am di samping urus setia pertandingan serta penduduk kampung.
Berdasarkan maklumat awal, mangsa bersama 485 peserta lelaki dan perempuan yang lain memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 kilometer pagi Sabtu dan sepatutnya berakhir pada hari yang sama.
Kehilangan mangsa disedari kawannya, Mohd Farid Md Kamal, 32 tahun, apabila mendapati Mohammad Ashraf masih tidak sampai selepas selesai perlumbaan.
Pada Ahad, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata selepas panggilan telefon tidak dijawab, Mohd Farid memaklumkan perkara itu kepada penganjur dan tindakan mencari telah dijalankan di kawasan laluan peserta tetapi tidak ditemui.
Katanya, pengadu datang membuat laporan polis ke Balai Polis Gopeng, 1.09 pagi Ahad selepas rakannya itu masih belum ditemui.
#angkatan pertahanan awam #Gopeng Ultra Trail #hilang #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #Mohammad Ashraf Hassan #Mohd Farid Md Kamal #Pasukan Gerakan Am #Polis Diraja Malaysia
;