Peserta Dialog Perpaduan berani - Prof Ulung Dr Shamsul Amri
Astro Awani
Februari 22, 2014 07:31 MYT
Februari 22, 2014 07:31 MYT
Lebih 30 peserta yang menghadiri Dialog Perpaduan: Suara Akar Umbi memberikan pendapat dan pandangan mereka mengenai isu perpaduan kaum di negara ini.
Keberanian peserta-peserta dialog yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joseph Kurup itu dianggap satu perkara yang penting.
Pengarah Institut Kajian Etnik Malaysia (KITA). Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharudin berkata keberanian peserta menyatakan pandangan merupakan isyarat positif kepada dialog ini yang akan berlangsung di 17 buah lokasi lagi.
Katanya, biarpun pandangan yang dinyatakan peserta sudah sering didengar tetapi menerusi dialog tersebut masyarakat berpeluang menyatakan pendapat mereka yang selama ini tidak dapat diluahkan.
"Pandangan ini sebenarnya tiada yang baru yang penting orang itu sendiri dapat dengar dan orang yang mendengar itu juga boleh memberi reaksi terhadap perkara yang selama ini mereka pendamkan.
"Dalam tempoh tiga jam banyak perkara sudah dapat dinyatakan, ini petanda positif kepada program ini, kerana mereka juga berkongsi di Facebook dan Twitter, seluruh Malaysia sudah mengetahui tentang perkara ini," katanya kepada Astro AWANI.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) berkata beliau melihat dialog berkenaan menjadi medan untuk MPKN mencari pandangan masyarakat untuk penyediaan pelan tindakan perpaduan negara.
Beliau berkata, dialog yang diadakan itu memberi peluang rakyat berkongsi perspektif dan pengalaman mengenai keharmonian kaum dan masyarakat.
Katanya, peserta dialog bukan hanya dapat meluah kebimbangan sebaliknya berpeluang mencadangkan penyelesaian terbaik masalah yang dibincangkan.
"Kualiti penyampaian dapat dipertingkat agar kita boleh memberi fokus dan tumpuan cadangan spesifik politik, ekonomi dari segi sosial untuk membincang bagaimana kita dapat tahap tingkat perpaduan," katanya.