Peserta demonstrasi dapat maklumat kurang tepat - Penganalisis
Hasbullah Awang Chik
Jun 22, 2013 14:50 MYT
Jun 22, 2013 14:50 MYT
Pengarah Pusat Perang Saraf Media dan Informasi (CMIWS) Profesor Madya Dr Abdul Rasid Abdul Rahman berkata peserta demonstrasi jalanan telah disajikan dengan informasi yang tidak tepat.
“Golongan yang menyertai demonstrasi jalanan adalah mereka yang tidak memperoleh informasi yang tepat. Apa yang berlaku pada dunia hari ini ia kelihatan seperti satu trend.
“Akta Perhimpunan Aman (APA) seharusnya memberi satu situasi yang positif. Pihak kerajaan telah banyak memberi ruang kepada masyarakat yang inginkan suara demokrasi itu dicerna dalam bentuk yang lebih luas.
“APA seharusnya mewujudkan satu situasi yang lebih terkawal. Inilah yang masyarakat mahukan dan kerajaan telah membuka peluang itu,” jelas Abdul Rasid sewaktu dihubungi Astro AWANI.
Abdul Rasid juga menjelaskan isu penipuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang digembar-gemburkan oleh pihak pembangkang tidak harus diperbesarkan.
“Saya tidak lihat perkara berkenaan harus diperbesarkan kerana dari awal lagi SPR telah bersama pihak pembangkang menunjukkan tahap ketelusan yang terbaik.
“Antaranya penggunaan dakwat kekal merupakan satu saranan daripada pihak yang memperjuangkan isu ini.
"SPR telah memberikan ruang yang begitu banyak sebelum pilihan raya lagi untuk turut serta dalam mempertikai atau melihat perjalanan pilihan raya,” jelas Abdul Rasid.
Pengarah CMIWS itu turut tidak melihat SPR sebagai alat Barisan Nasional (BN) untuk memenangi pilihan raya.
“Saya tidak bersetuju kerana SPR merupakan satu badan yang berdiri sendiri dan tiada pengaruh daripada mana-mana pihak.
“Masyarakat beranggapan SPR dilantik oleh kerajaan. Ia seolah-olah apa yang dilaksanakan SPR adalah menurut kehendak kerajaan.
“Orang ramai harus berfikiran luas dan terbuka dalam hal ini. Kita seharusnya melihat dan memahami peranan yang dimainkan oleh SPR,” tambah Abdul Rasid.
Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli pada Jumaat telah menafikan memberi arahan kepada sepmua peserta Black 505 untuk mewujudkan provokasi terhadap pihak berkuasa semasa perhimpunan yang akan diadakan di Padang Merbok hari ini.
Perhimpunan berkenaan mengemukakan tiga tuntutan utama iaitu melantik anggota SPR yang baru, mengadakan pilihan raya semula di 30 kawasan parlimen yang diragui dan menangguhkan pindaan undang-undang pilihan raya.
Pastikan anda tidak terlepas berita terkini. Muat turun aplikasi percuma AstroAWANI di App Store dan Google Play.