Peserta berdemonstrasi di Dataran Merdeka, Stadium Merdeka
Bernama
Januari 12, 2013 12:20 MYT
Januari 12, 2013 12:20 MYT
Peserta perhimpunan didukungi pembangkang berhimpun di Dataran Merdeka dan Stadium Merdeka di sini mulai 10.45 pagi ini dengan sebahagian daripada mereka mengadakan demonstrasi di jalanan sambil melaungkan slogan.
Tinjauan Bernama mendapati kira-kira 40 wanita dan lelaki berpakaian kemeja-t hijau berkumpul di Dataran Merdeka, persekitaran Jalan Raja Laut dan Jalan Tuanku Abdul Rahman mengambil kesempatan mendesak supaya dihalang operasi kilang nadir bumi Lynas di Kuantan, Pahang.
Sambil membawa beberapa sepanduk, mereka turut melaungkan slogan yang menentang Lynas.
Di Stadium Merdeka pula, anggaran 3,000 peserta berkumpul di hadapan stadium itu berikutan pintu masuknya hanya dibuka pada 2 petang.
Tinjauan Bernama mendapati masih ada peserta yang membawa kanak-kanak pada perhimpunan itu walaupun Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 melarangnya.
Terdapat juga antara mereka melaungkan slogan "reformasi" sementara menunggu pintu Stadium Merdeka dibuka.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar sebelum ini menasihati penganjur dan peserta himpunan itu supaya mematuhi APA.
Beliau berkata seseorang itu melakukan kesalahan jika bukan warganegara menyertai perhimpunan, menganjurkan perhimpunan di tempat larangan dan dalam jarak 50 meter dari had larangan.
Mereka juga melanggar APA jika menyertai dan menganjur protes jalanan, seseorang bawah umur 21 tahun menganjurkan perhimpunan, kanak–kanak menyertai perhimpunan (bawah 15 tahun), merekrut atau membawa kanak-kanak untuk perhimpunan.
Ismail turut menegaskan jika sabit kesalahan, individu terbabit bolehdikenakan denda antara RM10,000 dan RM20,000.